Fama taja pasukan takraw Melaka

Monday, September 17, 2018

Fama taja pasukan takraw Melaka

Fama taja pasukan takraw Melaka

BAGI memperluaskan lagi pemasaran jenama Agromas, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menaja pasukan sepak takraw Melaka sempena Sukan Malaysia (Sukma) ke-19.

Usaha yang dilakukan melalui Fama Corporation Sdn Bhd (Famaco) ini merupakan yang pertama dijalankan Fama menaja pasukan sepak takraw dalam edisi Sukma.

Ketua Pegawai Eksekutif Famaco, Zainal Abidin Yang Razalli berkata seramai 18 atlet dan pegawai pasukan sepak takraw Melaka ditaja Fama melibatkan jersi perlawanan edisi Sukma ke-19.

"Sukma ke-19, Fama dengan sukacita memulakan satu langkah baharu membuat penajaan kepada pasukan sepak takraw Melaka dan kita mengetengahkan jenama Agromas yang dipasarkan oleh Fama bukan sahaja dalam malah luar negara.

"Ini merupakan salah satu aktiviti kita cuba tukar daripada kaedah publisiti biasa menggunakan akhbar sahaja kepada penajaan dalam sukan dengan harapan ia memberi pulangan kepada Fama," katanya kepada pemberita selepas meninjau di lokasi pertandingan takraw di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah, di sini, hari ini.

Menurut Zainal Abidin, hasil menaja pasukan takraw Melaka bakal memberi pulangan jangka masa pendek dan panjang kepada Fama.

"Hasil pertama adalah apabila pengguna baharu melihat jenama Agromas pada jersi pasukan takraw Melaka mereka akan mengenali jenama berkenaan.

"Hasil kedua pula adalah kepada pengguna sedia ada kami dan mereka melihat bahawa Agromas sudah setapak ke hadapan dengan menaja sukan dan hasil ketiga pula membantu jenama kami berkembang," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Sepak Takraw Melaka, Mohd Ghazali Bidin mengucapkan terima kasih di atas kesudian Fama menaja pasukannya bagi Sukma kali ini.

"Terima kasih kepada Fama sudi taja pasukan Melaka dan kami harap kerjasama ini berterusan untuk tahun akan datang," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment