Emas pertama acara terjun milik Sabah
EMAS pertama acara terjun Sukan Malaysia (Sukma) 2018 yang membuka tirai hari ini di Pusat Akuatik Tuanku Zara di sini menjadi milik atlet Sabah, Gabriel Gilbert Daim.
Penerjun berumur 17 tahun itu mempamerkan aksi konsisten untuk mengungguli acara 3meter papan anjal lelaki apabila mengutip 369.00 mata selepas menyelesaikan enam terjunan.
Gabriel mengalahkan pencabarnya Muhd Syahmi Mohd Rezal dari Selangor yang meraih perak dengan 315.60 mata manakala gangsa menjadi milik Hanis Nazirul Jaya Surya dari Wilayah Persekutuan dengan 312.00 mata.
âSaya sangat gembira dengan pingat emas ini, kerana pada Sukma 2016 saya tidak mengambil bahagian dalam acara ini,â katanya.
Pada temasya Sukma 2016 di Sarawak, Gabriel memenangi pingat perak dalam acara 3m papan anjalseirama lelaki bersama pasangannya Jellson Jabilin.
Sementara itu, Sarawak meraih pingat emas menerusi gandingan Eilisha Rania Abrial Rajagopal Francis dan Kimberly Bong dalam acara platform seirama wanita.
Eilisha Rania dan Kimberly menduduki carta teratas selepas mengumpul 274.05 mata dan sekali gus mempertahankan emas yang dimenangi semasa Sukma ke-18, dua tahun lepas.
Pasangan dari Selangor, Koh Hui Yan dan Lim Min meraih perak dengan mata keseluruhan 222.06, manakala gangsa milik pasangan Sabah, Nur Ain Nadzmi dan Nurfazriyanti Jali dengan 213.51 mata. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment