Deja Moss, suami bakal bercerai 24 Oktober ini
AMPANG - Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, menetapkan 24 Oktober depan bagi tarikh lafaz cerai antara penyanyi Deja Moss dan suaminya Azfendy Azzuddin Ahmad.
Menerusi laporan mStar, Hakim Syarie, Noranizan Mohd Sufian membuat keputusan itu selepas mendengar keseluruhan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi mencari penyelesaian kemelut rumah tangga pasangan itu.
"Selepas mendengar laporan JKP kedua-dua belah pihak, mahkamah mendapati JKP gagal mendamaikan rumah tangga pasangan ini. Hasil laporan ini juga berlakunya shiqah termasuk pasangan telah tidak tinggal sebumbung selama setahun," katanya.
Pada masa sama, tarikh itu juga ditetapkan apabila Deja selaku defendan berada dalam keadaan tidak suci ketika ini.
Sementara itu, Deja yang ditemui berkata dia reda dengan keputusan tersebut.
"Pada awal-awal dulu memang saya rasa sedih dan kecewa dengan perkara ini tapi sekarang saya sudah terima dan kehidupan perlu diteruskan," katanya.
Pada 5 Mac lalu, Azfendy memfailkan permohohan cerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 terhadap Deja.
Deja turut hadir bersama peguam Halimatunsaadiah dan rakan baiknya, Dr Azuridah kira-kira pukul 10.50 pagi.
Deja dan Azfendy berkahwin pada 30 Ogos 2008 tanpa dikurniakan anak.
Sebelum ini Deja mendakwa perkahwinannya dengan Azfendy berantakan dan sudah tidak dapat diselamatkan lagi.
Malah, Deja juga mendedahkan punca sebenar mereka ingin bercerai bukan kerana tidak mempunyai zuriat namun disebabkan kecurangan suaminya itu.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment