Cerita segelas teh tarik

Tuesday, September 25, 2018

Cerita segelas teh tarik

Cerita segelas teh tarik

SETELAH tidak lagi bersama Sinar Harian, saya sering ke selatan ibu kota untuk berurusan. Saya ke sana awal supaya dapat memulakan mesyuarat dengan klien, tepat pada waktu temu janji. Kerana itu, sering juga saya bersarapan di sebuah medan selera. Makan apa lagi jika bukan nasi lemak dengan teh tarik.

Lazimnya saya memesan teh di gerai sebelah kiri atau kanan gerai nasi lemak. Setelah beberapa kali ke sana, baru saya perasan yang harga segelas teh tarik di antara kedua-duanya tidak sama harganya. Gerai sebelah kiri menawarkan harga RM2 untuk segelas. Gerai di sebelah kanan menawarkan harga RM1.40 sahaja!

Apabila saya perasan perbezaan harga, mulalah hati hendak mempersoal. Mengapa harganya begitu jauh berbeza? Kolenya hanya sedikit berbeza saiz. Namun beza harganya tidaklah patut sampai 60 sen! Barangkali beza harga 10 sen, memang logiklah. Namun, saya pesan jugalah di gerai yang menjual teh tarik RM2 jika kedai yang satu lagi tutup kerana cuti.  

Orang Melayu pada hari ini memang sudah pandai berniaga. Orang Melayu juga boleh buka kedai dan besarkan perniagaan. Mereka boleh buka sebuah kedai dan akhirnya ia menjadi rangkaian kedai-kedai kerana perniagaan mereka mendapat sambutan. Kalau dulu orang Melayu hanya pandai buka kedai jahit songkok dan capal serta kedai makan, kini orang Melayu dah boleh jual apa yang orang lain boleh jual.

Sebut sahaja dari perniagaan tepi jalan, dalam kedai, dalam kompleks membeli belah mahupun secara atas talian, orang Melayu ada perniagaannya. Tapi, walaupun pandai menjual, orang Melayu perlu juga mengerti pentingnya pemasaran. Jika membuat sebanyak mungkin duit adalah matlamatnya, itu pemikiran orang menjual, bukan pemasaran.

Maka kita akan temui mereka meletakkan harga yang tinggi semata-mata kerana inginkan keuntungan segera. Sebab itulah kita temui ada di kalangan peniaga-peniaga ini menjual makanan yang kurang nampak serinya tetapi mengenakan harga di sebuah kafe. Sudah menjadi kebiasaan bila mana ada gerai yang mengenakan harga yang lebih tinggi daripada harga di restoran mamak.

Mungkinkah kerana pelanggan terlalu ramai? Jika pelanggan A tidak mahu membeli, ada pelanggan B, atau C, atau D yang akan melariskan jualannya.

Menurut perangkaan penduduk Malaysia 2018, hampir 70 peratus penduduk Malaysia adalah terdiri daripada kaum Bumiputera. Tentulah para pelanggan yang terdiri daripada orang Melayu pun lebih ramai dari kaum-kaum lain. Di kebanyakan pusat membeli-belah ternama pun kita dapati sebilangan besar daripada para pelanggannya adalah terdiri dalam kalangan orang Melayu. Barangkali, ini juga penyumbang kepada keberanian sesetengah peniaga Melayu menaikkan harga tanpa rasa bimbang barangannya tak laris.

Namun, walaupun dengan menaikkan harga itu lebih cepat menguntungkan, daripada aspek pemasaran, jumlah pelanggan itu akan berkurangan berdasarkan harga barangan. Maknanya barangan berharga RM1 akan mempunyai lebih ramai pelanggan berbanding dengan jika harganya RM2.

Contohnya, gerai A yang menjual teh tarik berharga RM1 akan mempunyai lebih ramai pelanggan berbanding dengan gerai B yang menjual dengan harga RM2. Meskipun daripada satu segi, gerai B akan mendapat lebih untung dengan lebih cepat.

Tetapi gerai A  yang menjual teh yang berharga RM1 akan dikunjungi dengan lebih ramai pelanggan. Sekali pandang, benarlah gerai A terpaksa menjual dua kali ganda gelas teh daripada gerai B. Jika gerai A terpaksa mendapatkan 100 pelanggan untuk memperoleh RM100, gerai B hanya perlu 50 pelanggan sahaja. Kerja kuat dua kali ganda untuk mendapat jumlah RM yang sama.

Tetapi perniagaan yang baik itu sifatnya berkembang. Apabila A melancarkan barangan lain, A sudah ada jumlah 100 pelanggan berbanding dengan B yang hanya ada 50 orang pelanggan. Ertinya, gerai A pula mempunyai jumlah pelanggan yang lebih besar daripada gerai B.

Dunia perniagaan khususnya peruncitan perlu menawarkan harga semurah yang boleh untuk mendapatkan seramai mungkin pelanggan. Pelanggan yang ramai akan mempermudah mendapat modal pusingan. Sebaliknya jika hendak menjual barangan premium, maka ‘customer base’ yang besar itu tidak perlu. Hanya beberapa orang pelanggan yang ada pun sudah boleh menjamin kelestarian perniagaan.

Sebab itulah, kalau hendak untung semata-mata dengan menaikkan harga itu bukannya pemikiran jangka panjang. Sebaliknya ia akan mempercepat gulung tikar apabila pelanggan lari. Kebanyakan peniaga Melayu kenalah faham meletakkan harga itu bukan semata-mata untuk untung semata-mata.

Orang akan sanggup membeli jika barangan yang dijual itu luar biasa persembahan dan rasanya. Kini ramai yang sanggup beli teh ais kaw dengan harga RM5. Kerana itu, teh tarik gelas kecil berharga RM2 di gerai medan selera amat tidak munasabah jika ada gerai lain yang boleh jual dengan harga yang lebih murah.            
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment