Bukan kontraktor jual projek

Sunday, September 2, 2018

Bukan kontraktor jual projek

Bukan kontraktor jual projek

SHAH ALAM - Kebanyakan tender atau kontrak projek kerajaan didakwa dianugerahkan kepada syarikat atau kontraktor tidak layak, yang diamalkan sejak lebih 30 tahun lalu.

Presiden Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad berkata, disebabkan itu, ia mendorong penerima kontrak itu menjual atau 'ali baba' kepada pihak lain.

Malah, katanya, ada juga pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk menggunakan lesen milik individu atau syarikat lain semata-mata untuk mendapatkan kontrak berkenaan yang dikhususkan kepada perniagaan Bumiputera.

"Yang jual projek bukan kontraktor. Mereka bukan kontraktor tulen kerana yang jual ini adalah kontraktor yang ada hubung kait dengan pemerintah atau namanya digunakan (pihak lain).

"Nama digunakan pihak lain contohnya, ada orang ada lesen (kontraktor) tetapi tidak dapat projek dan ada sebuah syarikat lain yang dekat dengan pemerintah datang pakai lesen itu untuk mohon projek," katanya kepada Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tun M beri amaran usahawan Bumiputera jual kontrak]

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kepada usahawan Bumiputera yang menjual kontrak mereka bertujuan untuk meraih kekayaan segera.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak teragak-agak untuk segera membatalkan pemberian kontrak berkenaan jika ia didapati berlaku.

Katanya, penerima kontrak seharusnya mengusahakan sendiri bukan mengambil jalan mudah dengan menjual kontrak mereka kepada orang lain.

Sementara itu, Mokhtar menggesa supaya usahawan Melayu tidak dipandang rendah.

"Kontraktor Melayu memang boleh buat projek itu, tetapi selari dari segi persaingan yang sama tahap dengan mereka. Jangan disuruh 'lawan' dengan kontraktor Turki dan sebagainya," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment