Bangunan mewah jadi markas Macau Scam

Thursday, September 27, 2018

Bangunan mewah jadi markas Macau Scam

Bangunan mewah jadi markas Macau Scam

KUALA LUMPUR - Sindiket Macau Scam menjadikan bangunan pejabat mewah yang terletak di Jalan Stesen Sentral, KL Sentral, di sini, sebagai markas untuk membuat panggilan penipuan antarabangsa akhirnya terbongkar.

Kegiatan yang berjaya dilumpuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dalam serbuan pada jam 1.40 petang, kelmarin.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, seramai 99 orang berusia 14 hingga 44 tahun membabitkan 78 lelaki serta 21 wanita berjaya diberkas termasuk seorang lelaki berpangkat Datuk Seri.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati 93 individu adalah warga China dan enam warga tempatan.

"Ketika serbuan, suspek ini sedang membuat panggilan menawarkan perkhidmatan pelaburan saham kepada mangsanya warga China.

"Siasatan mendapati sindiket ini mendapat keuntungan jutaan ringgit hasil penipuan mereka dengan menjadikan Malaysia sebagai pusat kegiatan kerana wujudnya kebocoran data peribadi selain wujudnya penggunaan Voice Over Internet Protocol ( VOIP) bagi mengendalikan panggilan luar negara," katanya dalam sidang media di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Amar Singh berkata, pelbagai barang telah dirampas antaranya telefon bimbit (169 unit), komputer riba (114 unit), buku catitan (19 unit), pasport (16 keping) dan sebuah Toyota Vellfire.

Beliau kemudian mendedahkan, sindiket yang mensasarkan kebanyakan mangsa warga China ini tidak beroperasi pada satu tempat sahaja bagi menyukarkan polis mengesan kegiatan mereka selain menjadikan suspek warga tempatan sebagai penterjemah.

Katanya, suspek akan memperdayakan mangsa untuk membeli saham yang kononnya diyakini memberi keuntungan dalam masa yang singkat.

"Kesemua suspek kini masih direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment