Ahli politik perosak perpaduan
SHAH ALAM - Rakyat diingatkan tidak termakan dengan hasutan membabitkan perkauman pihak tertentu bagi menarik sokongan.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, aspek perpaduan boleh dipupuk jika tiada campur tangan pihak ketiga.
Menurutnya, isu perkauman sengaja dibangkitkan sehingga menimbulkan perbalahan dan keresahan rakyat.
"Rakyat, kalau dibiarkan sendiri mereka pandai bersatu tetapi yang merosakkan perpaduan adalah parti politik.
"Jangan terpengaruh dengan api perkauman seperti mahu menjatuhkan agung, nak bentuk negara republik, menghalalkan LGBT (lesbian, gay, bisexual, and transgender) yang sengaja dijadikan isu," katanya.
Beliau turut merujuk perbezaan politik di negara maju
"Ahli politik sepatutnya hanya berbeza dasar dan pendekatan bukan tanam kebencian dengan melagakan rakyat dalam isu perkauman... tetapi itulah politik Malaysia.
"Perpaduan membuktikan negara yang hancur semasa perang seperti Jepun, Jerman dan Vietnam boleh menjadi kukuh dan maju apabila bersatu meski berbeza politik," katanya ketika merasmikan penubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Rumah Teres Fasa 1, Seksyen 9, di sini.
Turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim merangkap Penasihat KRT.
Menurutnya, perbezaan kaum perlu dianggap sebagai kelebihan dan dilihat dari sudut positif.
"Negara lain mungkin tidak berbilang bangsa tapi kita perlu melihatnya dari sudut positif dan menganggapnya sebagai satu kelebihan.
"Ia juga cabaran yang terpaksa dihadapi dalam membentuk semula Malaysia sebagai negara disegani serta dihormati," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment