21,500 liter minyak diesel dirampas

Thursday, September 13, 2018

21,500 liter minyak diesel dirampas

21,500 liter minyak diesel dirampas

TAIPING - Sejumlah 21,500 liter minyak diesel bernilai RM34,400 disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Taiping setelah dipercayai diseleweng dua pemilik jeti persendirian di Sungai Kerang, di sini tanpa permit barang kawalan, hari ini.

Ketua KPDNHEP cawangan Taiping, Mohamad Kamarol Mat Nor berkata, pada jam 12 tengahari, seramai lapan pegawai penguatkuasa diketuai PPP Kamarul Anaz Kassim bertindak menjalankan pemeriksaan terhadap jeti nelayan persendirian di lokasi tersebut.

Menurutnya, hasil pemerhatian dan risikan selama dua minggu, pihaknya mendapati pemilik jeti persendirian terbabit menggunakan tangki minyak untuk menyimpan minyak diesel bagi kegunaan bot persendirian menangkap ikan tanpa permit barang kawalan.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati dua pemilik jeti persendirian di situ gagal mengemukakan permit barang kawalan yang dikeluarkan pihak kami.

"Sehubungan itu, kami telah mengambil tindakan dengan menyita sebanyak 21,500 liter minyak diesel yang disimpan di dalam tiga tangki minyak berkapasiti 12,000 liter setiap satu,"katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mohamad Kamarol berkata, jumlah nilai rampasan keseluruhan bagi serbuan tersebut dianggarkan sebanyak RM34,400.

Menurutnya, KPDNHEP Taiping memandang serius terhadap mana-mana pihak menjalankan urusniaga berkaitan barang kawalan tanpa mempunyai lesen atau kebenaran bertulis daripada Pegawai Bekalan Malaysia terlebih dahulu.

"Minyak diesel adalah salah satu barang kawalan berjadual dan dikawal selia oleh pihak kementerian di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Peniaga minyak diesel juga dinasihatkan supaya menjalankan perniagaan barang kawalan itu di tempat yang dinyatakan dalam lesen sahaja kerana sudah dinilai aspek keselamatan dan diberikan kebenaran oleh Bomba agar keselamatan lebih terjamin kepada penduduk sekitar,"katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.



sumber:
sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment