Suasana hiba di HKL
KUALA LUMPUR - Ibu dan bapa kepada bayi berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi, yang mayatnya ditemui dalam peti ais di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves tiba di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, jam 10.37 pagi tadi.
Ibu mangsa, Farrah Madihah Othman, 28, dilihat dipimpin ahli keluarga sebaik keluar daripada kenderaan dan suaminya, Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, berpelukan dengan ahli keluarga terdekat yang sudah menunggu di IPFN HKL sejak jam 9 pagi tadi.
Difahamkan suami isteri berkenaan akan terlibat proses pengecaman terhadap mayat bayi berkenaan sebelum bedah siasat dilakukan.
Sumber HKL memaklumkan, proses bedah siasat dijangka mengambil masa 2 hingga 3 jam.
Dalam masa sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh Tseow Suan turut hadir ke IPFN HKL pada jam kira-kira 15 minit kemudian.
Beliau dilihat turut memasuki IPFN HKL untuk bertemu ibu bapa mangsa.
Adam Rayqal dilaporkan hilang petang semalam selepas pengasuh berkenaan mendakwa tersalah serah kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai bapanya.
Bagaimanapun, siasatan polis menemui mayat bayi berkenaan disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu di rumah pengasuh terbabit, kira-kira jam 11 malam tadi selepas mendapati terdapat keraguan pada keterangan suspek.
Bayi berkenaan ditemui lengkap dengan pakaian dan berbalut kain lampin serta disumbat dalam beg berwarna hijau.
Polis sudah menahan pengasuh berusia 33 tahun itu bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun di rumah sewa mereka, semalam dan permohonan reman terhadap kedua-dua suspek dibuat di Mahkamah Selayang, pagi ini, bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment