PRK Dun Sungai Kandis: Calon belum dikenal pasti
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memaklumkan pihaknya masih belum mengenal pasti mana-mana calon untuk bertanding dalam PRK Sungai Kandis susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei, kelmarin.
Menurut Amirudin, pihaknya perlu menghantar laporan kepada kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (Harapan) terlebih dahulu sebelum menetapkan calon yang akan bertanding bagi kerusi berkenaan.
"Calon belum kenal pasti. Saya perlu buat laporan kepada kepimpinan tertinggi terlebih dahulu," jawabnya ringkas selepas mengadakan lawatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Allahyarham Shuhaimi meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Isnin lalu sekitar jam 11.10 pagi akibat kanser limforma pada usia 50 tahun.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyauarat Isnin depan bagi membincangkan tarikh-tarikh berkaitan PRK selepas menerima notis kekosongan kerusi Dun Sungai Kandis, semalam.
Sementara itu, Amirudin berkata, pihaknya juga hanya akan mengeluarkan kenyataan mengenai PRK Sungai Kandis setelah SPR membuat pengumuman mengenai kekosongan kerusi tersebut.
Buat masa ini, Amirudin berkata, setiap pihak perlu bersiap-sedia menghadapi PRK susulan kematian penyandang kerusi itu.
"Walaupun kita masih bersedih susulan kehilangan Allahyarham, namun setiap pihak perlu bersiap-sedia menghadapi PRK selepas ini," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai lawatannya, Amirudin berkata, pihaknya hadir bagi mendengar taklimat secara rasmi mengenai keadaan keselamatan di Selangor.
Menerusi lawatan itu, terdapat beberapa perkara boleh diperhalusi selepas ini antaranya ialah melibatkan aplikasi Smart State untuk tujuan keselamatan, jalinan kepimpinan kerajaan negeri bagi membantu polis dalam mengawal jenayah dan kemudahan penempatan logistik.
"Ini adalah tiga perkara yang saya percaya berpotensi dan akan diperhalusi selepas pertemuan ini," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment