PM putuskan kedudukan Mara dalam masa terdekat

Monday, July 23, 2018

PM putuskan kedudukan Mara dalam masa terdekat

PM putuskan kedudukan Mara dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR - Kedudukan Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan diputuskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa terdekat.

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Mohd. Yusof berkata, ketika ini kawal selia dan tanggungjawab agensi Bumiputera itu dalam peringkat perbincangan dalam Kabinet.

Menurutnya, secara peribadi beliau mahu Mara diletakkan di bawah kementeriannya walaupun agensi itu di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKLW) dan Wilayah yang kini dikenali Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

"Mara sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan  dan Koperasi sebelum dibubarkan pada 2009. Jadi kena fikir balik kenapa kementerian khusus untuk usahawan ini diwujudkan semula.

"Saya hendak sambung balik agenda dan memperkasakan peranan Mara yang termaktub dalam Akta Parlimen. Tetapi, semua bergantung kepada keputusan kabinet nanti,"katanya pada sidang media selepas mengadakan taklimat bersama pengurusan tertinggi Mara dan agensi-agensi di bawah KKLW di sini, hari ini.

Ditanya agensi yang secara rasmi telah diletakkan di bawah kementerian, Mohd. Redzuan berkata, pengumuman  akan dibuat dalam masa terdekat ini.

Mengulas keutamaannya sebagai menteri, beliau berdepan cabaran untuk meningkatkan jumlah usahawan perusahaan kecil dan sedehana (PKS) pada masa akan datang.

Katanya, industri PKS ketika menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negara dan sumbangan perlu dipertingkatkan kepada 40 peratus.

"Fokus kementerian adalah untuk menjadi pemudah cara kepada usahawan dan PKS bagi memulakan perniagaan. Dasar dan pendirian kerajaan untuk meneruskan agenda Bumiputera akan tetap dipelihara selaras dengan perlembagaan Malaysia dan penubuhan kementerian untuk beri tumpuan khusus pada pembangunan usahawan bumiputra supaya dapat berdaya saing," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment