Lelaki maut tercampak dalam longkang

Monday, July 2, 2018

Lelaki maut tercampak dalam longkang

Lelaki maut tercampak dalam longkang

KEMAMAN - Memilukan! Itu keadaan yang menimpa seorang lelaki selepas maut akibat terbabas dan tercampak ke dalam longkang setelah lebih sebulan bapanya terbunuh, juga disebabkan terbabas.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi di Kilometer 121 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran lampu isyarat Kemasik itu, kelmarin, mangsa, Mohd Firdaus Mohammad, 34, maut di lokasi kejadian.

Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Kemaman ke Dungun sebelum dipercayai motosikal jenis Honda EX5 ditunggangnya hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, ekoran itu mangsa dari Kampung Gong Pasir, Dungun terjatuh ke dalam longkang menyebabkan kepalanya terhantuk simen longkang berkenaan.

"Mangsa yang bekerja sendiri mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurut Mohd Said, lokasi kejadian adalah jalan dua lorong satu hala, bentuk jalan lurus, jalan berturap tar dan ketika kejadian cuaca berkeadaan baik serta keadaan lalu lintas tidak sibuk.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Difahamkan seminggu sebelum bulan puasa lalu, mangsa kehilangan bapanya yang meninggal dunia disebabkan kenderaan yang dinaiki terbabas.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment