Guna akaun bank pihak lain hutang ah long
KUALA KRAI - Akaun bank peniaga wanita dikesan menjadi sasaran peminjam yang membuat pinjaman dengan ah long bagi mengelak mereka diburu ceti haram itu.
Pengurus Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Krai, Sulaiman Derahim berkata, pihaknya ada menerima aduan kes menimpa seorang peniaga wanita di daerah ini.
Menurutnya, mangsa didatangi sekumpulan wanita yang berpura-pura mengenali peniaga terbabit.
âMereka menemui mangsa dengan berpura-pura sebagai rakan dan kemudiannya memperdaya wanita berkenaan dengan memaklumkan akaun bank mereka tertinggal.
âSelepas itu mereka meminta nombor akaun dan kad pengenalan mangsa serta memberitahu rakan mereka akan memasukkan duit ke akaun tersebut,â katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Hari Raya di Pejabat KPDNKK di Guchil.
Sulaiman berkata, selepas dua atau tiga bulan, pemilik akaun bank berkenaan dicari ah long.
âSaya berharap dengan pendedahan ini orang ramai khususnya wanita akan lebih berhati-hati bagi mengelak kes sama berulang.
âLaporan kejadian saya terima hanya satu kes, tetapi saya difahamkan terdapat beberapa kes sama telah berlaku di Kuala Krai,â katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya turut menerima aduan orang ramai berhubung harga ayam selepas Aidilfitri masih tinggi di kawasan pedalaman.
âHarga barang lain di pasaran kita dapati masih di tahap biasa.
âKita turut menerima aduan peniaga khususnya di luar bandar masih mengenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST), bagaimanapun ia hanya kes terpencil,â katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment