53 murid SK Damak dijangkiti HFMD
JERANTUT - Jangkitan pertama penyakit kaki, mulut dan tangan (HFMD) mula dikesan pada seorang murid pra-sekolah pada 16 Julai lalu.
Kemudian ia merebak dan jumlah meningkat sehingga 53 murid menyebabkan Sekolah Kebangsaan (SK) Damak ditutup selama lima hari bermula hari ini menjadikan sekolah pertama yang ditutup di Pahang kerana jangkitan tersebut.
Guru Besar, Zulkarnain Maharudin memberitahu, ia adalah kejadian kali pertama sekolah tersebut berdepan situasi terbabit.
Menurutnya, daripada jumlah terbabit dua daripadanya adalah murid Orang Asli.
"Penutupan sekolah ini atas nasihat Jabatan Kesihatan dan beberapa langkah telah diambil antaranya semburan di kawasan sekolah termasuk di dalam kelas dan rawatan.
"Selain itu poster dan risalah turut diedarkan selain penggunaan bahan pencuci tangan," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau ditemui ketika kunjungan media hari ini yang sepi berikutan penutupan sekolah terbabit.
"Dimaklumkan jika masih lagi situasi ini berterusan sehingga tarikh akhir Jumaat ini, kemungkinan jumlah hari akan bersambung. Bergantung kepada keadaan.
"Memang wujud kebimbangan antara pihak Jabatan Pendidikan Negeri(JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) kerana ia boleh menjejaskan pembelajaran murid-murid," katanya lagi.
Ujarnya, semua ibu bapa dan penjaga telah dimaklumkan mengenai situasi tersebut yang dihadapi sekolah itu yang memiliki 368 murid dan 32 guru.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment