Dr Amalina guna laman sosial sebar mesej positif

Monday, February 19, 2018

Dr Amalina guna laman sosial sebar mesej positif

Dr Amalina guna laman sosial sebar mesej positif


DR Amalina jadi idola generasi muda.

KUALA LUMPUR: Kebelakangan ini, nama Dr Nur Amalina Bakri menjadi sebutan pengguna media sosial susulan kerajinan wanita peramah itu melayan kerenah netizen yang berminat mengetahui perkembangan mutakhirnya.

Matang mencecah 30 tahun, hampir separuh usianya dihabiskan menimba ilmu di United Kingdom selepas mencatat sejarah dengan kejayaan 17A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2004.

Kini, Dr Amalina tersenarai sebagai antara 10 doktor pakar pelatih surgikal terbaik di United Kingdom dan kerajinannya berkongsi kisah harian di media sosial sepanjang menjalani latihan pakar bedah di St Mary's Hospital, London membuatkan gadis kelahiran Kota Bharu itu menjadi idola generasi muda.

Resam dunia maya, di sebalik pujian dan sokongan, ada yang lebih gemar mencari silap serta menjatuhkan hukuman menerusi apa yang dilihat tanpa difahami, termasuk pelat British pekatnya.

Dalam bahasa mudah, Dr Amalina tidak terlepas daripada menjadi mangsa buli siber hanya kerana beliau memilih untuk memotivasi mereka yang dahagakan ilmu dan panduan, selain sesekali bertukar jenaka dengan pengikutnya.

"Populariti di media sosial mengejutkan saya. Sebaik berita mengenai doktor pelatih terbaik itu tersebar, saya membuka akaun Twitter keesokannya dan terperanjat mendapati bilangan pengikut meningkat secara mendadak.


PAPARAN skrin akaun Twitter dan posting Dr Amalina yang sentiasa aktif serta dikemaskini setiap hari

"Awalnya ia seperti tidak masuk akal. Ada yang mengecam, ada juga yang menilai diri saya secara negatif dan memandang usaha serta penat lelah saya selama ini dengan sebelah mata.

"Sesetengah daripada mereka hanya berminat dengan cerita sensasi, manakala ada yang menggelar saya macam-macam.

"Selepas berfikir, saya memilih untuk bangkit daripada segala tohmahan dan tercetuslah idea untuk menggunakan populariti itu ke arah kebaikan.

"Sedaya mampu, saya sebarkan mesej positif kepada pengikut media sosial dan memberi perangsang kepada yang memerlukan terutama golongan pelajar," katanya dalam temu bual eksklusif menerusi Facetime, baru-baru ini.

Menerusi akaun Twitter @DrAmalinaBakri, beliau mempunyai 129,000 pengikut manakala akaun Instagram dengan nama sama menarik 116,000 pengikut setakat ini.

Gigih mengejar impian menjadi doktor pakar bedah bidang kanser payudara dan onkoplastik, Dr Amalina memanfaatkan sepenuhnya teknologi untuk berkongsi ilmu.


DR Amalina bersama ibunya, Sabariah pada majlis konvokesyen di University of Edinburgh.

Sesi tutorial viva

Ia termasuk mengadakan sesi tutorial viva bidang surgikal perubatan menerusi sesi langsung di Instagram bersama seorang pelajar perubatan tempatan.

"Saya mendapat idea mempelbagaikan fungsi media sosial ketika mengajar pelajar perubatan di Imperial College, London.

"Dalam sesi tutorial viva selama dua jam itu, kami membincangkan berkenaan beberapa kes contohnya bagaimana menguruskan pesakit yang pecah saluran darah utamanya, radang hempedu dan luka akibat tembakan.

"Teknologi mampu menggapai dunia tanpa sempadan. Saya mengajar dan pada masa sama, saya belajar bersama mereka.

"Sungguhpun saya tinggal di luar negara, ini cara saya menyumbang kepada bidang perubatan di tanah air," " katanya.


Duta Akademik BH itu optimis menjalani segala keadaan dan kukuh berpegang kepada moto isteri bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama, iaitu when they go low, we go high atau 'semakin mereka mengeji, semakin kita terbang tinggi'.




Menyedari impak positif yang boleh disampaikan dalam kalangan ribuan pengikutnya, Dr Amalina menjadikan media sosial sebagai platform menyebarkan kempen ke arah kebaikan.

Beliau turut menggerakkan Independent Women Campaign (IWC) sebagai inisiatif memperkasakan wanita mengejar impian hidup dan lebih berdikari, terutama apabila berdepan pelbagai isu termasuk ketidaksamarataan gender.

Dr Amalina lantang menyokong kempen I Look Like A Surgeon (Saya Kelihatan Seperti Pakar Bedah) bersama rakannya yang juga pakar bedah pelatih di AS bagi memecahkan persepsi stereotaip seperti hanya lelaki layak menjadi pakar bedah atau memiliki genetik Barat.

Sebagai pakar bedah pelatih di bahagian surgikal dan trauma, beliau menggalas tanggungjawab besar termasuk memantau beberapa doktor pelatih, tugasan di bilik bedah dan klinik, on call dan mengajar di Imperial College.

"Ketika mula-mula menjadi doktor junior, saya terlalu fokus dengan bekerja hingga mengabaikan diri lalu jatuh sakit hingga dimasukkan ke wad selama beberapa hari.

"Saya belajar daripada kesilapan itu. Kini, kalau bercuti, saya rehatkan minda dan merancang percutian bersama teman.

"Menetap di London memudahkan saya melancong di sekitar Eropah kerana perjalanan cuma mengambil satu atau dua jam," katanya yang sudah mengunjungi 61 negara setakat ini.

Tak ubah jati diri

Kota kosmopolitan London tidak mengubah jati diri Dr Amalina sebagai anak Melayu dari Malaysia dan buktinya, masakan Melayu tetap menjadi idaman, lebih-lebih lagi jika ibu kesayangan, Sabariah Hassan, datang melawat setiap tahun.

Menu teratas dalam senarainya ialah ikan cencaru sumbat dan roti jala.

"Saya menyanjungi pengorbanan mama yang menjadi pembakar semangat dan pemangkin setiap kejayaan dikecapi hari ini.

"Mama adalah segala-galanya buat saya. Sejak kecil, mama mendedahkan saya terhadap pelbagai ilmu dan universiti hebat di luar negara sebagai dorongan buat saya.

"Saya menjadi manusia paling gembira apabila mama datang ke London. Kami saling melepas rindu dan kesempatan menjamu air tangannya membuatkan hidup saya terasa lengkap," katanya.

Seperkara lagi yang menjadi minat Dr Amalina ialah fesyen, malah netizen menggelarnya sebagai fashionista kerana kerap memuat naik gambar pakaian hariannya (outfit of the day) dan sesekali memaklumkan jenama terkenal pilihannya bagi baju, beg dan kasut digayakan.

Malah, beliau turut mendapat undangan menghadiri Minggu Fesyen London (LFW) dan memaklumkan akan mengenakan jenama Malaysia, Locka.

"Saya pastikan hidup diimbangi oleh kerja, belajar, hobi dan bercuti supaya tiada tekanan yang boleh menjejaskan pencapaian," katanya mengakhiri perbuatan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment