MBSA arah kilang ais ditutup serta merta
SHAH ALAM - Kilang ais di Seksyen 36, di sini, diarahkan tutup serta merta susulan insiden kebocoran gas ammonia yang berlaku semalam sehingga mengorbankan dua pekerja premis terbabit.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, arahan penutupan serta pemberhentian operasi kilang ais tersebut dikeluarkan pihaknya hari ini.
"Surat arahan tersebut diserahkan kepada pengurusan kilang berkenaan oleh kakitangan dari Jabatan Pelesenan MBSA.
[ARTIKEL BERKAITAN: Kebocoran ammonia berpunca kerosakan mekanikal]
"Kita memandang serius perkara yang berlaku dan berharap pengurusan kilang mematuhi arahan dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Terdahulu, pemeriksaan oleh MBSA mendapati kilang ais itu mempunyai lesen untuk menjalankan aktiviti pemprosesan ais tetapi tidak memiliki lesen atau kebenaran untuk menyimpan bahan berbahaya.
Dalam insiden semalam, dua pekerja warga asing mati dipercayai akibat terhidu gas ammonia yang bocor dari tangki simpanan ketika sedang melakukan kerja rutin.
Baki 25 pekerja lain yang turut berada di lokasi kejadian dilaporkan cedera akibat melecur selain sesak nafas, muntah-muntah dan pedih mata kerana kandungan gas ammonia yang terlalu tinggi bacaannya iaitu 500 ppm (parts per million) berbanding bacaan normal iaitu 50 ppm ke bawah.
Kesemua yang cedera dihantar ke empat buah hospital iaitu Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Banting untuk rawatan lanjut.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment