TFC II bawa pulang bekalan selesa
PASUKAN Terengganu FC II (TFC II) berjaya membawa pulang bekalan selesa apabila mudah menjinakkan ATM, 2-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala Cabaran yang berlangsung di Stadium UiTM, sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan bermula seimbang dengan masing-masing berbalas serangan ke gawang gol, begitupun skuad kendalian Tengku Hazman Raja Hassan terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pemain importnya, Andrew Anderson Jean Baptiste seawal minit kelima permainan.
Jaringan itu nyata menyuntik semangat skuad TFC II apabila Bruno Suzuki berjaya mengukuhkan kedudukan menerusi gol kedua empat minit selepas itu hasil lorongan kemas Muhamad Shahrin Sapien.
Dua gol awal itu bagaimanapun tidak mencemaskan kem tuan rumah apabila bangkit mengatur serangan merapatkan jurang kedudukkan, namun mudah dipatahkan benteng pertahanan TFC II yang dikawal rapi kapten pasukan, Mohamad Hasbullah Awang.
Seminit sebelum tamat babak pertama, kem TFC II hampir melebarkan jaringan bagaimanapun rembatan leret Bruno Suzuki mudah dinafikan Safril Hafizzie Safari hasil hantaran silang Mohd Hassan Basri Ahmad Ridzuan.
Bersambung babak kedua menyaksikan skuad TFC II terus memperkemaskan rentak permainan dan Akanni Sunday berpeluang menambah jaringan pada minit ke-46 namun gagal memanfaatkan peluang keemasan ketika berdepan penjaga gawang ATM.
Tujuh minit selepas itu Akanni Sunday sekali lagi terlepas peluang mencetak namanya selaku penjaring buat TFC II apabila sepakan penaltinya mudah ditepis Safril Hafizzie Safari.
Tuan rumah yang sesekali mengatur gerakan berjaya mencemaskan benteng pertahanan TFC II menerusi percubaan dari luar kotak penalti pada minit ke-61 namun rembatan deras Muhammad Faiz Ibrahim gagal menepati sasaran.
TFC II yang cuba mencari jaringan tambahan akhirnya terpaksa berpuas hati dengan kelebihan dua jaringan di tempat lawan apabila kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment