Selangor tak boleh halang keputusan mahkamah

Tuesday, September 25, 2018

Selangor tak boleh halang keputusan mahkamah

Selangor tak boleh halang keputusan mahkamah

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor tidak boleh menghalang tindakan mahkamah berhubung isu perobohan serta arahan mengosongkan penempatan di Lot 626 dan 1416, Kampung Padang Jawa, di sini.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha berkata, ini berikutan tanah tersebut adalah tanah persendirian dan bukan milik kerajaan negeri.

Beliau berkata, apa yang kerajaan negeri boleh bantu dalam perkara tersebut adalah dengan menawarkan dua pilihan kepada penduduk terlibat iaitu mendaftar serta membeli Rumah Selangorku.

“Penduduk juga boleh mendapatkan unit-unit Skim Smart Sewa yang boleh membantu penyewa memiliki kediaman menerusi pemulangan deposit sewa pada kadar minimum dua tahun dan maksimum lima tahun. Tapi tawaran kita ini bukanlah di Padang Jawa, mereka boleh pilih menerusi senarai kawasan yang kita ada.

“Ini sahaja dua perkara yang kerajaan negeri boleh bantu. Soal perintah mahkamah dikeluarkan kepada penduduk untuk kosongkan kawasan sebelum 4 Oktober ini, it’s beyond us,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Terdahulu, penduduk Kampung Padang Jawa mengadakan bantahan pada Ahad lalu ekoran tidak berpuas hati dengan perintah mahkamah yang memberi kebenaran kepada pemaju untuk merobohkan kawasan penempatan mereka di dua lot berkenaan.

Dalam pada itu, Haniza berkata, pemaju didakwa penduduk tersebut sebenarnya bukan pemaju tetapi pemilik tanah berkenaan.

Menurutnya, isu sudah berlarutan lama dan beliau difahamkan pemilik tanah juga sudah memberi masa yang secukupnya kepada penduduk di kedua-dua lot tersebut untuk keluar dari situ.

“Kita dimaklumkan lebih 100 penduduk bersetuju untuk keluar dan pemilik tanah juga akan memberikan pampasan tapi terdapat antara 20 ke 30 orang sahaja yang enggan berpindah.

“Itu antara punca pemilik tanah akhirnya terpaksa membawa perkara itu ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Haniza untuk meneliti semula perkara itu bagi mencari penyelesaian terbaik.

Zuraida turut menegaskan pada prinsipnya, kebiasaan projek kerajaan Selangor, setiap kali berlaku pengambilalihan atau perobohan pasti ada persediaan untuk beri tanah ganti, pampasan atau sebagainya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment