PTPTN: Tunai janji segera jika pernah lafaz akad, kontrak
SHAH ALAM - Pihak yang berjanji untuk melakukan sesuatu perlu menunaikan janjinya mengikut kemampuan.
Timbalan Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Selangor, Rumaizi Ahmad berkata, terdapat janji yang boleh dilaksanakan secara segera dan ada janji yang hanya boleh dilaksanakan secara berperingkat kerana melibatkan pelbagai perkara termasuk pentadbiran, birokrasi, peruntukan undang-undang dan sebagainya.
Menurutnya, aspek menunaikan janji dalam bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebenarnya berdepan dengan beberapa isu namun jika pihak tersebut berusaha untuk menunaikan janjinya, ia belum boleh dikatakan memungkiri janji kerana proses pelaksanaannya mempunyai kekangan tertentu.
"Bagaimanapun, apabila melihat isu peminjam PTPTN pula, mereka sebenarnya telah berjanji melalui akad atau kontrak yang mereka akan membayar pinjaman PTPTN berdasarkan syarat yang dipersetujui.
"Maka peminjam adalah pihak yang telah berjanji dengan kontrak untuk membayarnya dan wajib menunaikan janjinya sama ada peminjam menandatangani kontrak untuk membayar balik atau tidak, ia adalah hutang yang tetap perlu dibayar berdasarkan hadis," katanya kepada Sinar Harian.
[ ARTIKEL BERKAITAN: 'Mereka pangkah PH kerana PTPTN' ]
Mengulas mengenai adakah mereka dianggap munafik sekiranya tidak menunaikan janji, Rumaizi berkata, benar terdapat hadis yang menyatakan tanda-tanda orang munafik antaranya jika berbicara ia berbohong, jika berjanji ia mengingkari, dan jika diberi amanah ia mengkhianati.
Namun, ia bukan sandaran untuk mengatakan seseorang itu munafik kerana tuduhan itu adalah berat.
"Munafik ialah Islam pada zahir dan kafir pada batinnya. Menuduh orang lain munafik seolah-olah menuduh ia menjadi kafir batinnya.
"Tanda atau ciri-ciri munafik hanya sebagai peringatan kepada kita dan bukan untuk ditujukan kepada orang lain. Jika memungkiri janji menjadi asas untuk menuduh orang munafik, maka peminjam PTPTN akan tergolong dari kalangan yang sama kerana mereka telah menandatangani kontrak yang mengikat janji untuk membayar hutang mereka," katanya.
Bagaimanapun, tuduhan-tuduhan munafik dan sebagainya perlu dihentikan manakala pengguna laman sosial antara kumpulan yang turut disaran menghentikan sebarang perkara yang boleh menimbulkan fitnah dalam masyarakat.
Sebelum ini, bekas Perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peminjam PTPTN yang gagal membayar pinjaman pendidikan mereka tidak seharusnya dimarahi sebagai golongan yang tidak amanah dan memalukan bangsa sendiri.
Katanya, golongan tersebut juga tidak seharusnya dimarah untuk mengabaikan janji manifesto PH.
[ ARTIKEL BERKAITAN: Tun M malu peminjam PTPTN tak jujur ]
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment