Pelajar sekolah maut terbabas

Sunday, September 23, 2018

Pelajar sekolah maut terbabas

Pelajar sekolah maut terbabas

TAIPING - Seorang pelajar maut, seorang lagi patah tangan apabila kereta yang mereka naiki  terbabas di Kilometer 13.6 Jalan Kuala Sepetang-Taiping, di sini tengah malam tadi.

Mangsa, Muhammad Qhairuldin Shah Yaakop,17, dari Taman Pengkalan Cemerlang, Simpang di sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku jam 11.30 malam sewaktu mangsa bersama seorang lagi rakannya, Ahmad Aliff Nurzikry Ahmad Hazlie,16, sedang dalam perjalanan dari arah Taiping ke Simpang.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta dipandu mangsa tiba di lokasi kejadian sebelum dipercayai terbabas sendiri dan melanggar pembahagi jalan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa pertama yang merupakan pemandu kereta itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Manakala penumpang hadapan mengalami kecederaan patah tangan kiri dan dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,"katanya kepada media di sini hari ini.

Razlam berkata, mayat Muhammad Qhairuldin Shah kemudiannya dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Pegawai Bomba Kanan II Mazli Mutallib memberitahu dua mangsa berkenaan dipercayai tercampak keluar dari kereta sejurus kemalangan berlaku.

Menurutnya, mereka menaiki kereta jenis Nissan Fairlady dan dipercayai terbabas ke pembahagi jalan setelah hilang kawalan.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment