Lebih 1,300 pekerja terima SIP setakat Jun

Tuesday, September 25, 2018

Lebih 1,300 pekerja terima SIP setakat Jun

Lebih 1,300 pekerja terima SIP setakat Jun

SANDAKAN - Seramai 1,380 pekerja di Sabah menerima faedah  Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah Perkeso Sabah, Dr Mohd Ali Hindia berkata, ia membabitkan peruntukan berjumlah RM835,000  dengan bayaran RM600 sebulan selama tiga bulan kepada penerima.

SIP dilaksanakan sejak Januari lepas bertujuan menjamin keselamatan sosial kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan, katanya kepada pemberita selepas Program Libat Urus Seminar Bersama Pemimpin Masyarakat Perkeso di sini, hari ini.

Program anjuran bersama Dewan Perniagaan dan Pembangunan Usahawan Bumiputera itu dirasmikan oleh Hanafiah Sahih Montoi, Setiausaha Sulit kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata adalah amat penting bagi majikan mendaftarkan pekerja mereka dengan Perkeso untuk menerima faedah di bawah pertubuhan itu dan majikan yang gagal berbuat demikian akan dikenakan kompaun.

Mohd Ali berkata, sejak Januari lalu hingga kini, sebanyak 52 majikan dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerja.

Katanya, ia membabitkan kesalahan lewat membuat laporan kemalangan pekerja, tidak mendaftarkan  pekerja dengan Perkeso dan tidak membuat caruman untuk pekerja.

Setiap majikan perlu mendaftarkan pekerja mereka kepada Perkeso dalam tempoh 48 jam selepas seseorang pekerja melapor diri untuk bertugas, katanya.

Menurutnya, kebanyakan majikan yang melakukan kesalahan itu adalah  syarikat dalam sektor industri kecil dan sederhana, kontraktor serta kedai runcit.  

Beliau berkata, pekerja yang berdaftar di bawah Perkeso layak menerima beberapa faedah iaitu hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, orang tanggungan, pencen ilat, pencen penakat dan faedah pengurusan mayat. -Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment