KFA perlu ada pasukan khas nilai pemain import
PASUKAN yang menilai pemain import wajar dibentuk oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bagi memburu pemain berkualiti untuk Lang Merah musim hadapan.
Pengerusi Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC), Mohd Safarizal Mohd Sobri berkata, pasukan khas ini mampu memastikan persatuan tidak bergantung sepenuhnya kepada ejen.
Menurutnya, kesilapan memilih pemain import yang dibawa oleh ejen sebelum ini wajar dijadikan pengajaran dan tidak seharusnya berulang lagi pada musim 2019.
"Seeloknya tubuhkan satu pasukan pemantau untuk menilai dan menyiasat latar belakang pemain-pemain import ini.
"JUFC tidak mahu ada tangan-tangan ghaib yang menentukan pemilihan pemain import ini. Skuad pemantau hendaklah terdiri di kalangan individu yang mempunyai kepakaran tentang bolasepak dan bukannya orang-orang yang menjaga persatuan bolasepak," katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.
Bagaimanapun, pemilihan tersebut memerlukan penglibatan dan persetujuan dari ketua jurulatih Kedah 2019 agar bersesuaian dengan taktikal yang dibawa olehnya.
"JUFC berharap KFA memberi kebebasan sepenuhnya kepada jurulatih yang bakal dilantik untuk memilih sendiri pemain import dan juga pemain tempatan yang dirasakan sesuai dengan corak permainan yang bakal ditampilkan nanti," katanya.
Tambah Mohd Safarizal, persatuan juga perlu telus dan menjadikan Mesyuarat Exco Eksekutif KFA sebagai tempat untuk memutuskan semua keputusan penting.
Berhubung pemain import Kedah yang bakal tamat kontrak pada hujung tahun ini, Mohd Safarizal percaya beberapa pemain masih lagi relevan jika pengalaman diambil kira namun pada akhirnya perlu diputuskan oleh ketua jurulatih baharu.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment