Johor negeri kedua tertinggi kes keganasan rumah tangga
JOHOR BAHRU - Johor mencatatkan 3,424 kes keganasan rumah tangga dari tahun 2013 hingga Mei lalu, sekali gus menjadikan negeri ini kedua tertinggi selepas Selangor (4,064 kes).
Exco Pembangunan Wanita dan Pelancongan, Liow Cai Tung berkata, berdasarkan statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), perselisihan faham dikenal pasti sebagai punca utama kes keganasan rumah tangga.
âKeadaan marah yang tidak terkawal menyebabkan lelaki atau suami mudah melakukan keganasan dengan memukul, menampar, menendang dan lain-lain perlakuan fizikal menyakitkan. Kita dapat lihat di Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mei lepas sahaja sebanyak 2,276 kes keganasan rumah tangga dicatatkan.
âPaling tinggi melibatkan mangsa wanita dalam peringkat umur 26 hingga 35 tahun dan 758 kes melibatkan wanita yang telah berumah tangga,â katanya.
Beliau demikian pada majlis penutup Seminar Wanita Anti Jenayah dan Kempen Menangani Keganasan Terhadap Wanita, anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Johor dan Pertubuhan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Kerajaan Johor (JASMINE) di sini, petang tadi.
Liow berkata, kerajaan negeri sememangnya memandang serius kes jenayah berunsurkan seksual atau keganasan rumah tangga memandangkan ia bukan sekadar menyebabkan kecederaan fizikal tetapi turut mencalarkan maruah mangsa.
âKes jenayah ini juga boleh menyebabkan trauma berpanjangan kepada mangsa terutama kepada kanak-kanak terlalu muda dan mentah yang melihat kejadian tersebut.
âKita takut kalau tidak dibendung boleh menyebabkan anak-anak terutama remaja lari dari rumah, terbabit dengan kegiatan dadah, gengsterisme, pengguguran dan buang bayi disebabkan kes keganasan rumah tangga ini berlaku dalam keluarga mereka,â katanya.
Menurutnya, justeru Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sendiri melalui Jabatan Pembangunan Wanita menjalankan pelbagai usaha bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan wanita terus terbela.
âAntaranya, perkhidmatan Talian Kasih 15999 dan talian khusus untuk kanak-kanak iaitu Childline 15999 yang beroperasi selama 24 jam sehari.
âIa juga dilihat dapat membantu masyarakat membuat aduan mengenai kes-kes krisis yang berlaku dalam masyarakat seperti penderaan, pembuangan bayi, kaunseling dan lain-lain,â katanya. -Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment