Jangan pandang rendah Kelantan
KEDAH perlu menurunkan kesebelasan terbaik pada perlawanan akhir Kumpulan C Piala Malaysia 2018 menghadapi Kelantan di Stadium IV pada Ahad ini.
Pengerusi Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC), Mohd Safarizal Mohd Sobri berkata, langkah itu perlu bagi menjamin laluan Lang Merah untuk meloloskan diri ke peringkat suku akhir kerana The Red Warrior (TRW) juga sebuah pasukan yang sukar dijinakkan di Kota Bharu.
Menurutnya, rekod pertemuan yang seimbang bagi kedua-dua pasukan pada musim ini juga bakal menyaksikan satu pertemuan sengit kerana masing-masing mahu mendapatkan mata pada perlawanan tersebut.
"JUFC mengharapkan Kedah dapat turunkan barisan terkuat mereka untuk perlawanan bertemu Kelantan di Kota Bharu kerana kita tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan.
"Kelantan secara matematiknya masih berpeluang layak ke suku akhir sekiranya tiga pasukan teratas kumpulan C tewas," katanya kepada Sukan Sinar.
Mohd Safarizal berkata, momentum kemenangan 3-1 mengejutkan juara bertahan piala Malaysia, JDT 3-1 di Stadium Darul Aman pad 31 Ogos lalu perlu dikekalkan oleh anak buah Azzmi Abd Aziz.
Jelasnya, jika semangat juang tinggi dan corak permainan sama turut sama dipamerkan oleh Lang Merah berdepan TRW di Kota Bharu, beliau percaya Kedah mampu keluar sebagai pemenang pada perlawanan penting ini.
"JUFC yakin yakin dengan adunan pemain muda, berpengalaman dan juga pemain import yang mampu membuahkan hasil.
"Kedah perlu menang perlawanan ini tanpa mengambil kira satu lagi perlawanan kumpulan C di antara JDT dan Mifa yang mana kedua-dua pasukan juga masih berpeluang untuk mara ke peringkat suku akhir," katanya.
Lang Merah kini berada di tangga kedua kumpulan C berkongsi lapan mata sama dengan pendahulu, Mifa manakala JDT di tangga ketiga dengan enam mata dan Kelantan pula empat mata.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment