Hospital pakar milik koperasi
APABILA bercakap tentang perniagaan yang dijalankan oleh koperasi, antara perkara pertama yang kita bayangkan mungkin kedai koperasi di sekolah, yang menjual buku latihan sekolah, alat tulis, pakaian seragam untuk aktiviti kokurikulum, dan beberapa keperluan sekolah yang lain. Selain itu, bagi yang makan gaji, koperasi juga mungkin salah satu tempat untuk mereka meminjam wang.
Memang benar, ada koperasi yang ditubuhkan untuk memberikan perkhidmatan peminjaman wang. Bayaran balik pinjaman akan dibuat melalui Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), dengan sistem potongan gaji melalui majikan baik kerajaan mahupun swasta.
Sistem potongan gaji yang ditadbir urus oleh Angkasa ini merupakan satu kemudahan bagi koperasi dan organisasi lain untuk mengutip bayaran seperti yuran, saham, ansuran pinjaman dan sebagainya, dengan cara lebih sistematik dan terjamin.
Koperasi Warga USM Kelantan Berhad (Coopusma) telah ditubuhkan pada tahun 2000 dengan fungsi utama koperasi untuk memberi kemudahan kredit kepada anggotanya. Hasil kepimpinan Profesor Madya Dr Mohamed Saat Ismail, Pengerusi Anggota Lembaga Koperasi (ALK), Coopusma kini mengorak langkah lebih jauh apabila fungsi utama koperasi telah ditukar kepada perkhidmatan pada tahun 2016.
Dr Mohamed Saat, yang mempunyai pemikiran di luar kotak mengambil beberapa langkah berani di luar daripada kebiasaan perniagaan koperasi.
Selain memberikan kemudahan kredit secara Islamik, Coopusma kini memiliki perniagaan seperti Pasaraya Coop Mart, Kopitiam Lestari di Hospital USM Kubang Kerian, pusat perkembangan kanak-kanak, Kilang Air Osmosis Lestari, pusat pemborongan, Hotel Budget Lestari, perkhidmatan ambulans dan âhome careâ, serta perkhidmatan penyewaan bangunan dan hartanah.
Selain itu, subsidiari milik penuh Coopusma juga mengusahakan Pusat Dialisis Lestari, Farmasi Lestari dan Klinik Lestari. Terbaharu, Coopusma telah mengambil alih Pusat Perubatan Telipot atau Telipot Medical Centre (TMC) dengan pegangan saham 51 peratus. Baki saham dipegang oleh Koperasi Doktor Pakar Kesihatan dan Perubatan Kelantan Berhad (9 peratus) manakala baki 40 peratus dimiliki oleh sekumpulan individu.
Ini menjadikan TMC hospital pakar pertama di Malaysia yang dimiliki oleh koperasi. TMC yang baru dibuka pada 8 Ogos 2018 selepas mendapat lesen kelulusan beroperasi daripada Kementerian Kesihatan mempunyai 26 pakar dalam pelbagai bidang serta 20 staf pada peringkat permulaan ini.
Bertempat di lokasi strategik di pusat bandar Kota Bharu, hospital pakar ini terletak di seberang jalan dari Istana Telipot dan Masjid Telipot.
Ini merupakan satu lagi perjuangan Coopusma untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat awam dengan menawarkan harga yang lebih rendah dan berpatutan berbanding hospital pakar swasta bagi kemudahan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
TMC mempunyai 14 buah katil (12 katil dewasa dan 2 katil kanak-kanak), sebuah bilik bersalin dan sebuah bilik bedah. Perkhidmatan ambulans juga disediakan 24 jam.
Antara khidmat pakar yang ditawarkan oleh TMC adalah dalam bidang perbidanan dan sakit puan, pediatrik, dan anestesia. Mereka juga mempunyai pegawai perubatan di bahagian kemalangan dan kecemasan (A&E) yang beroperasi 24 jam. Siapa sangka akan ada koperasi yang mengusahakan hospital pakar, bukan? Tahniah diucapkan kepada Coopusma.
Jika perniagaan biasa memberikan keuntungan kepada beberapa pemilik saham, konsep perniagaan koperasi yang dimiliki oleh minimum 50 orang adalah untuk membahagikan keuntungan kepada anggota, di samping memberikan perkhidmatan pada harga lebih kompetitif kepada anggota.
Coopusma mempunyai 3,000 ahli yang terdiri daripada staf Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan Kubang Kerian yang sama-sama menerima manfaat serta keuntungan perniagaan koperasi.
Alangkah bagusnya jika setiap koperasi mempunyai pengerusi yang hebat seperti Dr Mohamed Saat. Beliau yang juga Pengerusi Majlis Koperasi-Koperasi Kelantan turut mendapat anugerah Tokoh Koperasi Negeri Kelantan 2016.
Semoga koperasi-koperasi lain juga dapat mengambil contoh daripada Dr Mohamed Saat dan Coopusma agar lebih maju dan berjaya sebagaimana Coopusma telah berjaya menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan bukan sahaja kepada anggotanya tetapi juga masyarakat awam.
* Penulis adalah pengerusi Macma Kelantan dan Ajk Perkim Kelantan
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment