Hala tuju parti perlu tepat, jelas

Wednesday, September 26, 2018

Hala tuju parti perlu tepat, jelas

Hala tuju parti perlu tepat, jelas

HAMPIR separuh daripada jumlah pengundi PRU14 lalu terdiri daripada pengundi muda berusia lingkungan 21 hingga 40 tahun. Mahu atau tidak mahu, pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2018 yang bakal berlangsung 29 dan 30 September ini perlulah mengambil iktibar hasrat pengundi muda yang diterjemahkan melalui keputusan PRU14 yang lalu.

Dua sayap parti yang begitu dekat dengan pengundi muda ialah Pemuda dan Puteri Umno.  Apakah yang mampu dua sayap Umno ini mampu menempuh cabaran selepas pengajaran besar PRU14 lalu.

Kita ikuti temubual bersama Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan mengenai hala tuju dan agenda Pemuda Umno serta harapan buat parti yang sudah berusia lebih 70 tahun berkenaan.

Apakah isu yang akan di bawa dalam PAU untuk diketengahkan kepada kepimpinan atasan Umno?

Isu-isu utama dalam PAU sudah tentulah hala tuju parti. Hala tuju perlu tepat dan jelas. Kedua-duanya kena ada. Kalau jelas sahaja tetapi tidak tepat dengan cita rasa rakyat, tak guna juga. Sebagai Pemuda kita punya 'core business' iaitu orang muda.  Rata-rata orang muda sekarang ini memikirkan isu-isu yang selain daripada retorik lazim ini.

Retorik lazim Umno yang suka mempertahankan isu-isu Melayu Islam sahaja. Maksud saya, mempertahankan bahasa Melayu, kedudukan raja-raja Melayu, kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, ini semua kita pertahankan sejak dari dahulu lagi tetapi orang muda sekarang tak mengundi seandainya sesebuah parti memperjuangkan itu sahaja. Perlu ditambah dengan harapan baru untuk orang muda. Harapan untuk orang muda itu ialah masa depan orang muda.

Mereka nak tahu apa perancangan Umno untuk ekonomi orang muda Melayu, mereka nak tahu apa perancangan Umno untuk kedudukan pekerjaan orang Melayu, pendapatan orang Melayu, perumahan orang Melayu, semua ini bukan isu perlembagaan, semua ini bukan isu hak-hak Melayu, hak Melayu itu adalah asas kita sejak dari dulu. Kalau Umno masih bermain dengan retorik sahaja tanpa ditambah dengan lonjakan itu maka saya fikir apa yang kita perjuangkan selama ini orang muda akan menjauhi Umno kerana melihat sentimen perkauman itu makin membuak-buak dalam parti. Ini amat sukar untuk cuba diolah dalam Umno.

Selain itu, orang muda juga melihat soal nilai-nilai sejagat. Soal ketelusan, soal demokrasi, soal tadbir urus. Adakah sekiranya kita memperjuangkan isu-isu ini kita dilihat sebagai parti lupa jati diri Melayu? Kita perlu lihat ini adalah lonjakan Melayu status yang lebih tinggi, kerangka minda lebih global, minat lebih meluas dan bukan hanya bercakap isu-isu retorik yang lazim. Hala tuju tepat mesra orang muda akan diketengahkan dalam PAU kali ini.

Apakah yang perlu dilakukan Pemuda Umno sendiri untuk memastikan kesetiaan dalam kalangan ahli Pemuda Umno itu tetap utuh?

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sering turun ke bawah dan telah melaksanakan pertemuan di 13 negeri melalui sesi Halaqah Ilmu Pemuda (HIP). Semangat kepimpinan Pemuda Umno di setiap bahagian masih tinggi. Pada masa yang sama, sesi suai kenal dan ramah-mesra akar umbi ini telah menunjukkan mereka tertunggu-tunggu agenda pengukuhan dan hala tuju parti. Maka PAU ini menjadi satu tarikh yang amat penting untuk survival parti kita dalam jangka masa pendek dan sederhana. PAU menjadi titik-tolak kepada kebangkitan sebenar. Seperti yang saya katakan tadi, hala tuju itu mesti tepat dan jelas. Kalau tiada hala tuju itu -  walaupun semangat tinggi - Pemuda dan mana-mana ahli akan tertanya-tanya apakah gerakan kita yang sebenar selepas ini. Kita perlukan agenda yang jelas ke depan demi memastikan keutuhan kita di masa hadapan.

Soal keahlian penting tetapi pengalaman PRU14 menunjukkan keahlian yang besar tidak menjaminkan kemenangan. Yang penting adalah kualiti ahli itu sendiri. Jadi ahli yang ada dalam parti sekarang ini dan dalam sayap kita sekarang perlu kita perkasakan. Kita perlu memastikan semangat juang mereka tinggi.

Perlu kita pastikan dengar suara mereka supaya mereka melihat pemimpin atasan mesra akar umbi jadi itu lebih penting dari kita mencari ahli baru semata-mata nak tambah keahlian. Ahli baru sentiasa kita raikan dan menjadi sesuatu yang kita bangga tetapi jangan kita lupa bahawa menaikkan semangat dan daya juang ahli yang dah ada juga lebih penting.

Kekalahan BN pada PRU14 disebabkan kepercayaan rakyat yang sudah beralih arah.  Apakah yang perlu Pemuda Umno lakukan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat khususnya pengundi muda?

Kita perlu dilihat sebagai parti yang memperjuangkan minat orang muda. Kalau minat orang muda A tapi kita perjuangkan B, jangan terkejutlah kalau orang muda tak bersama dengan kita. Selalu orang kata kalau pengundi muda tak bersama dengan Umno salah Pemuda.

Tapi perlu saya ingatkan, kerana bila orang muda mengundi, mereka melihat parti secara keseluruhannya.  Seandainya Pemuda membuat segala yang boleh tetapi kalau imej parti secara keseluruhannya tak mesra orang muda dan dilihat tidak perjuangkan isu-isu yang saya sebutkan tadi, maka orang muda tidak kembali kepada kita. Kita perlu berubah dengan menterjemahkan masa depan orang muda bersama Umno tanpa hilang jati diri Umno itu sendiri dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan Melayu Islam.

Harapan saudara kepada semua ahli Pemuda Umno? Mungkin ada nasihat kepada ahli terutamanya yang memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda Umno cawangan mahupun bahagian?

Saya lebih minat untuk mendengar suara mereka, sebab itu dalam PAU kali ini kita akan meraikan sebarang perbahasan yang akan diketengahkan oleh mana-mana perwakilan atau sayap kerana ada masa ada ketika akar umbi boleh memacu agenda parti, boleh memberi gambaran lebih jelas idea bagaimana parti ini nak bergerak ke depan.

Semangat mereka dah tinggi, saya lebih merendah diri dan memohon agar mereka sendiri boleh terus membantu dalam agenda pengukuhan parti di peringkat masing-masing selaras dengan kepimpinan atasan. Selain itu, kita kena sentiasa cakna dengan hasrat suara hati rakyat dan bukannya hanya cakna suara hati Umno ataupun penyokong tegar Umno.

Saya harap ahli Umno boleh terima hakikat pedih ini iaitu hakikat bahawa tidak semestinya apa yang disukai oleh Umno sama dengan apa yang disukai rakyat di luar. Kita kena kekalkan jati diri perjuangan agama, bangsa dan tanah air, namun perlu terjemahan sesuai dengan kepompong di luar Umno ini.

Cukup-cukuplah kita ni kuat popular dalam kolam Umno sahaja dan cukup-cukuplah kita disifatkan seperti kata pepatah, menang sorak kampung tergadai.

Ucapan bagi semua ahli menghadiri PAU 2018?

Terima kasih kerana masih bersama parti, sudi berkorban dan sebagai pimpinan dalam Pemuda, saya harapkan bahawa semangat mereka lepas berakhirnya PAU lebih tinggi daripada sebelumnya. Kita semua ada tanggungjawab ke arah hasil tersebut.

Maknanya kepimpinan Pemuda Umno, perwakilannya, kepimpinan atasan dan perwakilan senior jadi titik tolak. Datang dengan hati terbuka, suara yang lantang, suarakan apa yang perlu disuarakan.

Semoga selepas habisnya PAU hala tuju kita makin jelas dan lebih bersemangat.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment