Guru agama urus kewangan pengganas dipenjara 5 tahun
KUALA LUMPUR - Seorang guru agama dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan mengendalikan harta milik pengganas dengan membenarkan kemasukan dan pengeluaran wang ke dalam akaun bank miliknya, tahun lalu.
Hakim Datuk Azman Abdullah memerintahkan tertuduh Ahmad Junaidi Omar, 30, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 25 Mei 2017.
Dalam penghakimannya, beliau berkata tindakan membantu pengganas walaupun dalam kalangan anggota keluarga adalah kesalahan serius dan ia perlu dibanteras bagi menghalang perkara itu daripada terus menular.
Ahmad Junaidi, lulusan Diploma Bahasa Arab dari Mesir didakwa dengan pengetahuan telah membenarkan kemasukan dan pengeluaran wang berjumlah RM6,360 milik Muhammad Fudhail, adiknya yang telah diwartakan sebagai pengganas, ke dalam akaun bank miliknya.
Bapa kepada seorang anak itu didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank cawangan Baling, Kedah antara 28 dan 30 April 2017, mengikut Seksyen 130Q(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana harta, jika sabit kesalahan.
Peguam Shahredwan Johan yang mewakili Ahmad Junaidi dalam rayuannya memohon hukuman penjara yang minimum kerana ia adalah kesalahan pertama anak guamnya, selain itu tertuduh juga telah kesal dan insaf dengan perbuatannya.
"Tertuduh juga berjanji tidak akan mengulangi perbuatan yang sama dan akan lebih berhati-hati melaksanakan permintaan orang lain, dalam kes ini tertuduh telah diminta oleh adiknya untuk memasukkan wang tanpa mengetahui tujuannya," kata beliau.
Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lufti Mohamed memohon hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran kepada orang ramai bahawa perbuatan memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas adalah kesalahan serius kerana boleh mendatangkan ancaman kepada negara.
Mengikut fakta kes, Muhammad Fudhail ada memberi barang kemas berupa seutas rantai dan gelang kepada Ahmad Junaidi untuk digadaikan dan wang hasil gadaian itu yang berjumlah RM6,360 telah dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya sebelum dipindahkan ke sebuah akaun di Indonesia. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment