Gas bocor: Gas Malaysia jamin keadaan selamat

Sunday, September 16, 2018

Gas bocor: Gas Malaysia jamin keadaan selamat

Gas bocor: Gas Malaysia jamin keadaan selamat

SHAH ALAM - Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) memberi jaminan kawasan yang terlibat dengan insiden gas bocor berhampiran Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Kampung Selamat di Sungai Buloh, petang semalam selamat dan terkawal.

Dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, Gas Malaysia memaklumkan pihaknya menyedari kejadian kira-kira jam 3.45 petang semalam.

Menurutnya, sebaik menerima maklumat, pihaknya menghantar pasukan tindak balas kecemasan untuk memeriksa tapak sekali gus mematikan injap paip untuk mengelakkan kebocoran berulang.

“Siasatan dapati kebocoran gas disebabkan kerosakan saluran paip akibat kerja penanaman besi cerucuk yang dijalankan kontraktor di kawasan berhampiran.

“Sehubungan itu, semua aktiviti dilaksanakan kontraktor dihentikan serta-merta. Kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bekalan gas masih dijalankan,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tiada mangsa kes saliran gas bocor]

Gas Malaysia turut mengutamakan keselamatan dan tidak akan berkompromi dalam sebarang keadaan selain akan terus bekerjasama dengan bomba dan polis bagi memantau keadaan dan mencegah kejadian berulang.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor mengesahkan tiada mangsa terlibat dalam kejadian kebocoran saliran gas berhampiran Stesen MRT Kampung Selamat, Seksyen U19, Sungai Buloh, petang semalam.

Bagaimanapun, stesen MRT itu terpaksa ditutup selamat hampir 30 minit ketika kerja-kerja penutupan injap gas dilaksanakan.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment