Mengaku tidak salah ugut bunuh keluarga penuntut universiti

Wednesday, June 27, 2018

Mengaku tidak salah ugut bunuh keluarga penuntut universiti

Mengaku tidak salah ugut bunuh keluarga penuntut universiti

KUALA TERENGGANU - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan mengugut mahu memukul, membakar rumah serta membunuh keluarga seorang penuntut universiti awam.

Tertuduh, Aman Shah Said Anib, 31, dan Muhamad Roslan, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Kedua-duanya hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, Aman Shah didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mahu membakar rumah, memecahkan kereta dan membunuh keluarga Amirul Anwar Husin, 20, dengan niat menimbulkan rasa takut di sebuah rumah di Jalan Sungai Rengas Padang Sena, di sini,  jam 3.30 pagi pada 18 Jun lalu.

Selain itu, Muhamad pula didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mahu memukul mangsa sama di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, mereka berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah kedua-dua tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 12 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 setiap seorang.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Adila Mat Zaidan manakala dua tertuduh diwakili peguam, Horley Isaacs.

Sebelum ini, dua tertuduh ke rumah mangsa untuk mencari seorang ahli keluarga mangsa.

Difahamkan, berlaku perselisihan antara dua tertuduh dan ahli keluarga mangsa sebelum ini dan perselisihan itu berpanjangan apabila mereka ke rumah mangsa untuk mencari lelaki terbabit.

Ketika mencari ahli keluarga mangsa, dua tertuduh bertindak mengugut mangsa yang berada di rumah.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment