Ku Li tanding jawatan Presiden UMNO

Saturday, June 16, 2018

Ku Li tanding jawatan Presiden UMNO

Ku Li tanding jawatan Presiden UMNO

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, hari ini menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti akhir bulan ini.

Bercakap kepada pemberita di kediamannya di Jalan Langgak Golf, di sini, beliau berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti dan memperhalusi, terutama soal kepemimpinan.

"Saya dengan rendah diri menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO, saya yakin dapat memimpin UMNO untuk meneruskan tradisi dan bercadang untuk memastikan UMNO sebagai pembangkang setia bertanggungjawab terhadap negara," katanya.

Beliau, yang juga dikenali sebagai Ku Li, pernah menjadi Menteri Kewangan pada 1976 hingga 1984.

Pada usia 81 tahun, Ku Li adalah wakil rakyat paling lama selepas berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang, yang dimenangi pada 1974, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.

Sehingga kini, pemangku Presiden merangkap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, adalah satu-satunya individu yang dikatakan akan bertanding untuk jawatan itu.

Pada peringkat Timbalan Presiden pula, dua nama sudah mengesahkan untuk bertanding iaitu Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut hadir pada sidang media tadi ialah bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ku Li berkata, sebagai pemimpin UMNO, beliau akan terus menjaga dengan sepenuh hati akar umbi parti yang berasaskan kepada perjuangan melindungi budaya dan warisan Melayu yang cuba dipermudahkan oleh penjajah selepas Perang Dunia Kedua.

Di sebalik itu, katanya UMNO akan terus menghormati hakikat kepelbagaian kaum yang diwarisi untuk memastikan keharmonian kaum terjaga kerana kematangan politik demokrasi negara memerlukan pemimpin politik matang.

"Sebagai pengamal politik aktif sejak menjadi ahli UMNO pada 1962, tidaklah keterlaluan jika saya katakan bahawa saya amat faham akan selok belok kepartian dan politik peringkat kebangsaan.

"Kepada saya, ini satu-satunya ujian sekiranya seseorang itu ingin menawarkan dirinya bagi tugas kepemimpinan.

"UMNO sensitif terhadap realiti politik pasca PRU-14 dan sudah pasti akan menyesuaikan diri demi memastikan kami akan terus relevan. Bagi maksud ini, UMNO di bawah kepemimpinan saya akan membuat perubahan penyesuaian jika perlu," katanya.

Dalam pada itu, dengan menggunakan tagline 'ikhlaskan jiwa, martabatkan maruah', beliau tidak akan memilih pasukan tertentu untuk menjadi timbalan presiden dan jawatan lain kerana semuanya mewakili pasukan UMNO.

Ku Li juga yakin mampu mengembalikan kredibiliti dan posisi UMNO sebagai parti utama di negara ini selain yakin akan menerima sokongan ahli UMNO untuk bertanding jawatan presiden kerana akar umbi mahukan perubahan.

Ditanya tahap keyakinan untuk memenangi jawatan nombor satu parti, beliau berkata ia bergantung kepada ahli untuk memutuskannya dan beliau meraih banyak sokongan bahagian UMNO seluruh negara.

Diminta mengulas kerjasama dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk MCA dan MIC, beliau berkata langkah itu harus diteruskan untuk mengukuhkan kekuatan BN.

Mengenai jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen jika memenangi pemilihan parti, beliau berkata ia akan diputuskan Parlimen.

Mengulas sama ada beliau akan memecat Datuk Seri Najib Razak jika memenangi jawatan presiden, Ku Li berkata: "Kenapa perlu saya lakukan tindakan itu melainkan ada salah laku".

Dalam isu Ahmad Zahid yang didakwa mengamalkan politik wang untuk memenangi jawatan presiden, beliau berkata tindakan akan diambil jika dakwaan itu terbukti benar.

Sementara itu ditanya mengenai kerjasama UMNO dan PAS, Ku Li berkata perkara itu akan ditentukan bila tiba masanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment