Elak sembang politik hari raya

Saturday, June 16, 2018

Elak sembang politik hari raya

Elak sembang politik hari raya

SAYA kira waktu ini ramai orang yang sedang beraya dan berkunjung ke rumah sanak saudara dan teman taulan. Maklumlah dengan waktu sesuai dan juga 'cuti' yang akan panjang, apatah lagi cuti persekolahan sudah tentu ramai balik kampung.  

Ini kerana kemeriahan beraya lebih manis dan dirasai jika diraikan bersama dengan orang tersayang di kampung halaman yang penuh dengan nostalgia tersendiri.

Bersempena Syawal ini, marilah kia mengambil kesempatan untuk bermaaf-maafan sesama saudara, teman dan mungkin 'lawan'. Ini adalah waktu kita untuk melupakan seketika persoalan politik semasa apatah lagi berbincang mengenai keputusan PRU14 yang lalu.

Gunakan kesempatan Aidilfitri ini untuk kita bertaut kembali bak kiambang dek kerana ketika berpolitik mungkin ada insan yang telah tergores hati atau memendam rasa. Memang benar peminat politik akan sentiasa berbicara soal politik walau di mana saja berada. Namanya orang politik begitulah gayanya. Namun perlu ada hadnya. Ini kerana sembang politik tak akan berakhir.

Maka sesama umat Islam perlulah kita memahami situasi dan tempat.  Ini adalah masa untuk meraikan kemenangan kita setelah sebulan berpuasa Ramadan. Ini adalah waktu bermaaf-maafan.

Gunakan kesempatan beraya dengan berkomunikasi dan berinteraksi secara bersemuka terutamanya kepada orang yang lebih tua. Mungkin kerana kesibukan kerja atau faktor kejauhan, maka inilah masa untuk kita bertanya khabar dan membawa anak dan cucu berjumpa dengan pakcik, makcik, mak long dan pak long bermesra dan merapatkan silaturahim.

Beberapa bulan malah mungkin bertahun yang lalu kita tidak cekang dari berbicara soal politik sehingga tidak ada kesudahannya. Sesetengahnya telah menyebabkan persaudaraan menjadi renggang atau kawan telah menjauhkan diri. Kurang dan elakkan bersembang soal politik sewaktu beraya. Kita telah pun membuat pilihan masing-masing, lalu membentuk kerajaan sekarang.

Dalam hal ini kita mestilah mengutamakan persoalan ukhuwah dan persaudaraan serta mengetepikan persoalan remeh yang terbawa-bawa sehingga menyinggung perasaan orang lain. Barang diingatkan bahawa sebenarnya tak semua orang suka bersembang soal politik sepanjang masa!.

Malah ramai yang mula bosan dan berkata รข€œcukup-cukuplah"!

Lihat sahaja dalam kumpulan WhatsApp berapa ramai yang 'left' kerana tidak setuju, merajuk atau kecil hati. Apatah lagi segelintir ahli kumpulan yang tidak pandai dan cakna untuk menjaga perasaan dan menghormati orang lain.

Takkan soal politik kita sanggup hilang saudara atau kawan yang telah terjalin sekian lama. Jangan lagi diungkit atau dijentik soal menang-kalah parti-parti politik tertentu ketika beraya.

Namun sesetengah individu cukup ego kerana parti yang didukung telah menang dan terus menyerang dengan sindiran atau sengaja menaikkan kemarahan. Individu sebegini selalunya akan lantang bersuara atau menguasai kumpulan WhatsApp dan seolah-olah dia saja yang benar.

Sedangkan orang lain yang mendiamkan diri atau cuba mengelakkan diri daripada berbicara soal politik semasa juga ada pendapatnya sendiri. Diam tak bererti kalah atau takut. Tetapi mencari jalan keluar dengan diam dan senyum sahaja kerana mementingkan persaudaraan lebih mulia daripada terus sembang politik yang menyakitkan hati orang lain.  

Untuk menjadikan masyarakat yang matang dan menyuburkan gelanggang demokrasi, perlu membezakan persoalan siasah, politik, dan soal rutin harian. Kita perlu juga membezakan soal formal dan tidak formal. Jangan pula apabila beraya asyik dengan gajet dan telefon bimbit masing-masing sehingga tidak bertanya khabar atau bersembang sebagai saudara dan teman.

Jadikan raya ini sebagai hari persaudaraan dan meraikan apa juga perbezaan. Malahan kita perlu mengutamakan adat sopan dan tatatertib sewaktu beraya. Baik tuan rumah atau pengunjung perlu memahami dan mengutamakan perasaan dan persaudaraan walaupun berlainan fahaman apatah lagi berbeza pegangan parti politik.     

Ini kerana persaudaraan adalah sepanjang hayat dan tidak boleh dijual beli. Tetapi politik datang dan pergi, bermusim serta akan terus berubah dari semasa ke semasa. Selamat Hari Raya, Maaf zahir dan Batin.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment