Jangan lupa pada yang tua, gembirakan mereka

Saturday, June 16, 2018

Jangan lupa pada yang tua, gembirakan mereka

Jangan lupa pada yang tua, gembirakan mereka

SAAT kita bergembira dengan insan tersayang di hari mulia ini, ada antara yang kurang bernasib baik seperti penghuni rumah orang tua, hanya meraikan hari raya ini secara sederhana bersama insan yang senasib dengan mereka.

Jika hari-hari biasa mereka tidak diambil peduli oleh keluarga tersayang setelah dibuang atau disisihkan keluarga sebaik saja dihantar ke rumah warga emas, bila tiba hari raya, nasib mereka tetap sama.

Melihat raut wajah insan-insan istimewa ini yang dianggap seperti ibu ayah atau atuk nenek kita, hati pasti akan sebak terutama melihat mereka merenung jauh ke luar jendela, seakan menanti anak cucu mereka yang akan hadir menziarahi mereka.

Itulah situasi di kebanyakan pusat jagaan warga emas yang menjaga dan menguruskan mereka kurang bernasib baik apabila dibuang keluarga, terlantar sakit tanpa siapa peduli sehingga ada penghuni yang kurang upaya tanpa saudara.

Sebak bila ada yang tanya baju raya

Bagi Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Mohd Azmi Md Zain, paling menyentuh naluri sebagai pengerusi yang dianggap seperti ayah bagi penghuni pusat jagaan itu, apabila penghuni bertanyakan perihal baju raya mereka.

"Saya sebak, kerana saya anggap mereka seperti anak saya sendiri biarpun umur mereka ada yang lebih tua daripada saya. Terutama penghuni lelaki, mereka amat berkeinginan mengenakan pakaian baju Melayu.

"Tahun sebelum ini, alhamdulillah ada pihak yang baik hati menyumbangkan pakaian raya kepada penghuni di sini. Namun tahun ini sumbangan tersebut dilihat sangat terhad.

"Mungkin keadaan ekonomi kini yang tidak menentu mengehadkan perbelanjaan dan sumbangan orang ramai yang berbentuk pakaian ke pusat jagaan ini," katanya ketika ditemui di pusat jagaan yang terletak di Kajang Selangor baru-baru ini.

Kongsinya lagi, selalunya apabila hari raya, situasi penghuni dan keadaan pusat berjalan seperti biasa.

Azmi berkata, bagi menampakkan ceria raya di pusat itu, pihaknya akan menghidangkan masakan seperti rendang, ketupat dan pelbagai lagi juadah atas meja panjang untuk dihidangkan kepada penghuni bagi mereka merasai sambutan hari raya tersebut.

"Selalunya minggu kedua hari raya, baharu pusat jagaan ini akan mula menerima pelawat yang ingin bersama-sama meraikan dan berkongsi kasih sayang dengan penghuni di sini," ujarnya.

Akuinya, memang nampak perubahan ketara pada raut wajah penghuni apabila mereka menerima kunjungan pelawat.

"Wajah gembira dan meriah akan mula kelihatan pada diri penghuni masing-masing yang menceriakan hari-hari mereka terutama hari lebaran.

"Pun begitu, bukan semua keluarga penghuni di sini terus membuang insan istimewa ini tanpa kunjungan, ada juga keluarga yang sebelum ini menghantar ibu bapa ke pusat jagaan kerana sibuk dan faktor lain, akan datang melawat ibu bapa mereka pada hari tertentu.

"Jadi, kepada anak-anak di luar sana, lawatlah dan hargailah ibu bapa anda selagi masih ada. Dan kepada yang tidak berpeluang punyai kasih sayang ibu bapa, boleh berkongsi rasa itu di rumah-rumah warga emas ini untuk merasai hangatnya kasih seorang ayah dan ibu," jelasnya.

Bukan tempat yang mengongkong

Berkongsi sedikit mengenai pusat jagaan yang telah tertubuh sejak 2012 itu, menurut Azmi, sebenarnya bukan semua pusat jagaan warga emas ini, hanya berdindingkan batu dan grill yang menghalang penghuninya bebas untuk melakukan pelbagai aktiviti.

Buktinya, di Pusat Jagaan Al-Fikrah yang menempatkan 70 penghuni, tetap memberi kebebasan kepada penghuni untuk melakukan aktiviti yang berfaedah yang sebelum ini mereka pernah lakukan.

"Kami ada kebun yang luas di belakang pusat jagaan ini yang menanam pelbagai jenis pokok buah-buahan, sayur-sayuran dan turut memelihara ikan, ayam dan itik. Ia membolehkan penghuni untuk bercucuk tanam, memelihara ayam serta itik dan merasai sendiri buang-buahan hasil tanaman mereka dahulu.

"Kami mahu, penghuni di sini berasa tenang dan tidak terus murung dengan nasib yang menimpa mereka, dengan adanya pelbagai kemudahan disediakan di sini untuk mereka mengisi masa terluang selain aktiviti kelas agama dan kemahiran lain ," katanya.

*****

Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pusat ini, boleh ke Facebook : pusat jagaan al-fikrah malaysia atau  Instagram: alfikrahmas atau hubungi 0105178778.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment