Autonomi politik untuk Umno Sabah, manifesto KJ

Tuesday, June 26, 2018

Autonomi politik untuk Umno Sabah, manifesto KJ

Autonomi politik untuk Umno Sabah, manifesto KJ

SANDAKAN - Pemberian autonomi politik kepada Umno Sabah menjadi manifesto calon Presiden Umno, Khairy Jamaluddin.

Bekas Ketua Pemuda Umno itu berkata, ia termasuklah membabitkan jawatan Naib Presiden untuk wakil dari Umno Sabah.

Pemilihan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah juga akan ditentukan oleh negeri ini sendiri dan penurunan kuasa pentadbiran antaranya membabitkan disiplin.

"Kedudukan Sabah diiktiraf berbeza dengan negeri lain terutama ketika menubuhkan Malaysia pada 1963.

"Atas sebab itu sentimen dan maruah rakyat Sabah mesti kita hormati dan terjemahkan dalam gerak kerja politik dalam Umno," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin dan anggota Umno Zon Lima Sabah di sini, hari ini.

Ia membabitkan Umno Bahagian Sandakan, Libaran, Kinabatangan, Beluran dan Silam.

Khairy, yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata beliau banyak menyentuh soal pendekatan autonomi Umno Sabah agar tidak dilihat sebagai di bawah cengkaman Umno pusat.

"Sebab kita mahu memberi keyakinan kepada rakyat Sabah bahawa Umno Sabah adalah sebuah parti yang dapat menjuarai kehendak dan aspirasi rakyat Sabah itu sendiri tanpa dilihat di bawah telunjuk Umno pusat," katanya.

Dalam pada itu, sekiranya menjadi Presiden Umno, Khairy akan mengemukakan cadangan penurunan kuasa dalam menentukan calon parti itu untuk pilihan raya daripada presiden kepada negeri ini dan bahagian.

Selama ini terdapat masalah dalam penentuan calon dan dibelenggu pemilihan calon yang tidak mendapat sokongan daripada rakyat.

"Ia disuarakan oleh ahli Umno di akar Umno. Kalau tidak dengar cadangan dalam menentukan calon daripada ahli biasa maka kita masih dihantui masalah pemilihan calon yang tidak tepati aspirasi dan kehendak rakyat," kata Khairy. - Bernama

 

 

 
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment