TFC sekadar terikat 2-2 bertemu PKNS FC

Saturday, February 3, 2018

TFC sekadar terikat 2-2 bertemu PKNS FC

TFC sekadar terikat 2-2 bertemu PKNS FC

HASRAT Pasukan Terengganu FC (TFC) untuk memulakan aksi pembuka tirai saingan Liga Super dengan langkah kanan tidak kesampaian apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 2-2 ketika turun melayan kunjungan PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Skuad kendalian Irfan Bakti ABu Salim bermula garang apabila terlebih dahulu mengejutkan gawang PKNS menerusi dua percubaan cantik pemain import, Lee Andrew Tuck pada minit ke empat dan kelapan.

TFC yang menggandakan asakan dalam usaha mencari gol awal bagaimanapun gagal membolosi gawang pelawat apabila benteng pertahanan PKNS terus utus menangkis serangan tuan rumah.

Usaha tuan rumah dalam mencari gol akhirnya tertunai apabila TFC dihadiahkan sepakan penalti selepas Abdul Malik Mat Arif dijatuhkan pemain PKNS pada minit ke-34 sebelum kapten pasukan, Tchetche Kipre meledakkan gol pembukaan dua minit selepas itu.

Begitupun jaringan pendahuluan itu tidak kekal lama apabila Mohammad Qayyum Marjoni Sabil berjaya menjaringkan gol penyamaan buat PKNS pada minit ke-39 menjadikan kedudukan 1-1.

Bersambung babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan memperkemaskan rentak permainan dan kapten pasukan PKNS, Mohd Safee Mohd Sali hampir membawa pelawat di depan pada minit 52 namun Mohd Suffian Rahman Kungi Rahman bertindak cemerlang memastikan gawang TFC tidak mudah dibolosi.

Pelawat yang semakin ghairah melakukan serangan berjaya melepasi perangkap offside dilakukan benteng pertahanan TFC, sebelum Rafeal Ramazotti De Quadros meledakkan gol kedua PKNS pada minit 68.

Lima selepas itu, Tchetche Kipre berjaya menceriakan hampir 7,000 penyokong  skuad Penyu apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-73 menerusi percubaan leret dari luar kotak penalti.

Tuan rumah yang cuba bangkit dipenghujung perlawanan untuk mencari gol kemenangan akhirnya terpaksa akur dengan keputusan seri setelah PKNS terus bertahan sehingga tamat perlawanan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment