Maut ditikam rakan OKU

Saturday, February 3, 2018

Maut ditikam rakan OKU

Maut ditikam rakan OKU

KLANG: Seorang lelaki berusia 55 tahun, maut akibat ditikam sahabatnya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) di Jalan Pandamaran, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang doktor Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada jam 6.18 petang yang melaporkan kejadian itu.

"Doktor berkenaan memaklumkan ada menerima pesakit iaitu mangsa dalam keadaan tidak sedar diri akibat kesan luka di dada kanan, disyaki ditikam dengan senjata tajam.

"Mangsa juga dipercayai sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Shamsul Amar berkata, siasatan awal mendapati mangsa datang ke rumah suspek kira-kira jam 6 petang tadi.

"Namun, tidak lama kemudian, ada seorang wanita yang tinggal berdekatan rumah suspek ternampak mangsa keluar dari rumah berkenaan dalam keadaan berdarah.

"Mangsa kemudian rebah dan wanita terbabit meminta tolong orang awam yang lalu lalang di situ untuk menghantar mangsa ke hospital dengan menaiki sebuah kereta," katanya.

Beliau berkata, bedah siasat akan dibuat pada jam 10 pagi esok di HTAR bagi mengenal pasti punca kejadian.

Shamsul Amar berkata, pihaknya juga sudah menahan seorang lelaki berusia 51 tahun di rumahnya iaitu lokasi mangsa ditikam.

"Kita turut merampas sebilah pisau dengan kesan darah yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa. Suspek adalah seorang OKU iaitu kaki kanannya kudung dari bawah lutut.

"Siasatan mendapati mangsa selalu datang ke rumah berkenaan untuk tujuan lepak dan dipercayai sering mengusik suspek," katanya.

Shamsul Amar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment