Tengku Permaisuri Selangor lawat bayi ditinggalkan

Thursday, February 1, 2018

Tengku Permaisuri Selangor lawat bayi ditinggalkan

Tengku Permaisuri Selangor lawat bayi ditinggalkan

SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan menziarahi seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di hadapan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR) pada 28 Januari lalu.

Memetik kenyataan dari laman sosial Facebook Selangor Royal Office, keberangkatan Tengku Permaisuri Norashikin ke Wad Bersalin, Hospital Shah Alam bagi lawatan mengejut itu turut diiringi oleh Penaung Diraja RACTAR, Tengku Puan Panglima Perlis, Tengku Puteri Nor Zehan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Bayi lelaki yang berusia hampir seminggu itu ditemui di dalam sebuah beg sekolah yang ditinggalkan di hadapan rumah kebajikan itu.

Tengku Permaisuri Selangor yang terkesan dengan berita itu berkenan melihat sendiri keadaan bayi berkenaan, yang kini dalam keadaan sihat dan diletakkan di bawah pemantauan rapi.

Baginda menzahirkan rasa simpati terhadap apa yang berlaku khususnya peningkatan gejala seperti pembuangan bayi yang amat membimbangkan.

"Saya merasakan ibu bapa, keluarga dan masyarakat memainkan peranan penting dalam mengukuhkan institusi kekeluargaan sekali gus mengelakkan anak-anak terjerumus ke arah melakukan perkara-perkara negatif.

"Saya amat sedih melihat bayi yang tidak berdosa ini menjadi mangsa di atas kesilapan pertimbangan individu tertentu yang mungkin belum matang dalam berfikir dan membuat keputusan," titah baginda.

Baginda juga berharap pihak berkuasa bertindak lebih tegas dalam membanteras gejala sosial dalam kalangan remaja yang boleh membawa kepada pembuangan bayi.

"Kejadian pembuangan bayi ini seharusnya membuka mata masyarakat untuk lebih peka dan prihatin dengan keadaan sekeliling.

"Saya rasa dengan pegangan agama yang teguh, perkara-perkara sebegini boleh dielakkan malah dalam Islam mengharamkan pembuangan bayi kerana satu dosa yang besar," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment