Karai dulunya lahirkan ramai cendekiawan

Thursday, February 1, 2018

Karai dulunya lahirkan ramai cendekiawan

Karai dulunya lahirkan ramai cendekiawan

SUNGAI SIPUT (U) - Pekan kecil Karai sememanganya menyimpan pelbagai kisah dan bagi pencinta sejarah, Sukarno Abdul Mutalib, 68, merasakan Karai dulunya banyak melahirkan cendekiawan.

Manakan tidak, menurutnya Sekolah Kebangsaan Karai dikatakan telah wujud sejak tahun 1900 dan ia merupakan bukti usaha melahirkan cerdik pandai sudah bermula pada waktu itu.

Tambahnya, meskipun tidak dapat mengenalpasti gerangan si cendiakawan, kisah pekan itu tidaklah lama jika dibandingkan dengan sejarah Temong atau Chegar Galah namun tidak dinafikan Karai memainkan peranan penting suatu masa dahulu.

“Kalau nak cerita kawasan lebih banyak sejarah, Enggor pun lebih banyak sejarahnya termasuklah Temong kerana dari situlah bermulanya kisah kewujudan negeri Perak.

“Karai boleh dikatakan masih baru namun ia menerima kesan pembangunan yang agak pesat pada zaman British yang menjadikan kawasan ini sebagai pelabuhan darat.

“Karai dulu memang maju, dulu memang meriah. Kewujudan pekan ini dan kewujudan sekolah menunjukkan cerdik pandai masa zaman British dulu banyak juga datang dari Karai,” katanya.

Ujarnya lagi, tidak keterlaluan jika dia mengatakan orang yang ada di Karai pada waktu itu merupakan cerdik pandai kerana mereka menerima pendidikan agak awal berbanding kawasan lain dalam Malaysia.

Bagi peniaga roti canai, Ramli Idris, 60, meskipun Karai tidak begitu membangun namun ia tetap menjadi tumpuan pada hari tertentu dan kedainya antara yang kerap dikunjungi.

Menurutnya, dia yang sudah berniaga sejak 26 tahun lepas di situ hanya membuka perniagaannya pada hari Selasa, Sabtu dan Ahad namun ia sudah mencukupi kerana pelanggannya agak ramai.

“Dalam seminggu hanya tiga hari berniaga tapi memang cukup untuk tampung keluarga. Lagipun sebab saya dah berumur, berniaga tiga hari pun cukuplah. Lain hari boleh berehat.

“Karai memang sebuah pekan lama tapi sekarang ramai datang ke sini. Pekan kecil ini sekarang sudah jadi antara lokasi tumpuan bagi penduduk sekitar Kuala Kangsar dan Sungai Siput mencari sarapan.

“Waktu cuti sekolah atau cuti umum memang ramai orang sampaikan parkir kereta pun tak cukup. Ramai merungut kata terpaksa parkir jauh tapi tetap masih ramai yang datang sini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sharifudin Taha, 57, berharap pihak berkenaan memberi perhatian kepada Karai dan cuba membawa pembangunan di kawasan itu sementelah ia kini merupakan antara lokasi tumpuan pelancong.

“Pekan Karai contohnya nampak tak elok bila ada gerai tepi jalan macam sekarang. Dari sebelum merdeka sampailah sekarang tiada perubahan besar pun.

“Kenapa tidak dialihkan peniaga ke kawasan lebih sesuai? Kalau boleh biarlah ada tapak baru untuk peniaga kerana pembangunan perlulah seiring dengan pelancongan yang semakin pesat di sini,” katanya.

Tambahnya lagi, dia berharap perubahan demi perubahan dibuat setiap 10 tahun bagi memastikan pekan itu terus terpelihara dan kekal dengan nilai sejarahnya.

“Pekan karai rasanya kira-kira 100 tahun usianya tapi tiada ke pihak berkuasa nampak cara untuk gazetkan pekan ini sebagai salah satu warisan negara?

“Gazetkan supaya bangunan ini tidak boleh dirobohkan, hanya boleh ubah suai gantikan mana yang reput dan bukan mengubah terus reka bentuk bangunan di sini,” tegasnya.

Katanya lagi, sektor pelancongan perlu dimantapkan lagi kerana ia sekaligus memberi banyak peluang pekerjaan kepada anak muda tempatan yang kini semakin ramai tiada pekerjaan tetap.

“Kalau dibuat kajian di Karai, rasanya jumlah penduduk menganggur boleh sampai hampir 30 peratus tapi disebabkan tiada yang buat kajian, saya pandang dia dan dia pandang saya. Diam sajalah tak tahu nak kata apa.

“Saya mohon pihak berkenaan buka mata. Kalau pergi Melaka contohnya, boleh kata segala sudut ada tarikan pelancong tapi di Perak susah naka kata, di Karai pun sama.

“Kalau ada orang tanya, saya tak tahu nak tunjuk di mana. Di sini ada Jambatan Victoria tapi tiada tarikan lain, kita pula malu dengan pelancong yang datang terutamanya jika mereka dari luar negara,” ujarnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment