Jual lukisan RM1, demi duit poket sendiri
GUA MUSANG - Hanya menggunakan sebatang pen, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chiku 2, ini mampu menghasilkan seni lukisan yang menakjubkan.
Melihat kepada hasil-hasil seninya, Muhamad Roziman Mohd Rozi, 17 dari Felda Chiku 1 ini, bukanlah calang-calang remaja.
Paling lama, Roziman mengambil masa selama dua jam untuk menghasilkan lukisan berdasarkan imaginasinya dan paling singkat, hanya 10 minit sahaja.
Menurut anak kedua dari lima beradik ini, dia mula berjinak dalam dunia seni lukisan sejak berusia tujuh tahun dan lukisan pertamanya adalah kereta Formula 1.
"Sejak itu, saya lihat ada potensi untuk saya gilap bakat saya ke arah seni dan setiap hari saya melukis malah saya lebih banyak bermain perasaan dalam lukisan. Segala perasaan seperti sedih, tertekan, bosan dan gembira, saya terjemahkan dalam lukisan.
"Saya tidak mewarisi bakat keluarga kerana saya seorang sahaja yang ada kebolehan ini. Ada lukisan yang hanya menggunakan pen sahaja dan ada lukisan yang menggunakan pensel dan pemadam.
"Sehingga kini, saya menghasilkan pelbagai karya termasuk lukisan karikatur, permandangan dan bangunan sejarah mengikut imaginasi sendiri," katanya yang meminati kartunis, Ujang.
Dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan, Roziman memberitahu, hasil karyanya itu turut digunakan untuk mendapatkan wang saku persekolahan.
"Saya menjual lukisan saya kepada rakan-rakan serendah RM1. Paling mahal saya pernah jual RM15 sahaja iaitu lukisan panorama.
"Saya jual untuk mendapatkan duit saku tanpa bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa saya. Saya tahu, mereka susah nak cari duit kerana bapa saya, Rozi Gahni, 43, hanya buruh kampung.
"Ibu saya, Che Sapinah Che Ya, 43, pula suri rumah. Kami juga pernah berpindah randah 11 kali sepanjang hidup saya kerana kesempitan wang," katanya sebak.
Tambah Roziman, dia berharap agar impiannya untuk ke menara gading tercapai demi membantu mengubah nasib keluarganya.
"Saya perlu belajar rajin-rajin untuk bantu keluarga. Saya tidak mahu lihat ibu bapa saya dihalau lagi kerana gagal bayar sewa rumah.
"Saya nak buktikan, dengan kebolehan yang saya ada, saya mampu memberi kesenangan kepada mereka," katanya yang bercita-cita untuk bergelar pelukis atau arkitek.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment