'Tidak sepatutnya berlaku'

Thursday, February 1, 2018

'Tidak sepatutnya berlaku'

'Tidak sepatutnya berlaku'

NIBONG TEBAL: Kejadian seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua meninggal dunia selepas cuba membunuh diri kerana dituduh mencuri telefon bimbit milik seorang guru minggu lalu, sepatutnya dapat dielakkan.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata pihak sekolah dan guru sepatutnya mematuhi prosedur dalam mengendalikan kes berkaitan masalah disiplin di sekolah.

"Saya harap sesuatu dapat dilakukan, saya percaya Kementerian Pendidikan mempunyai garis panduan tertentu dan pihak sekolah sepatutnya mematuhi prosedur terbabit.

"Perkara ini tidak seharusnya berlaku dan boleh dielak," katanya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga pelajar berkenaan di Nibong Tebal di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 24 Januari lalu, pelajar itu, dipercayai cuba membunuh diri dengan menggantung diri menggunakan kain sari di biliknya akibat tertekan selepas dituduh mencuri telefon bimbit milik seorang guru sekolahnya.

Kejadian itu disedari bapanya yang membawa remaja itu ke hospital tetapi mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada jam 3.30 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad, berkata polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan berhubung kejadian berkenaan.

"Kita dimaklumkan pelajar berkenaan dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB) oleh keluarganya pada 24 Januari lalu sebelum dipindahkan ke HSJ bagi rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia hari ini dan siasatan dibuat sebaik menerima maklumat dari pihak hospital," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, keluarga mangsa tidak dapat menahan pilu sebaik dimaklumkan pelajar terbabit meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Ibu saudara mangsa, A Latitha, 43, berkata ibu dan bapa mangsa terlalu sedih selepas melihat anak mereka bertarung nyawa sejak dirawat pada 24 Januari lalu.

Katanya, keadaan anak saudaranya menampakkan tanda positif Isnin lalu, namun merosot sejak malam tadi sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.30 pagi.

"Dia anak baik dan rapat dengan keluarga serta selalu menceritakan perkara yang berlaku kepada saya.

"Kehilangannya amat dirasai keluarga, apatah lagi cara kematiannya menyayat hati pada usia muda," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSJ, petang tadi.

Lalitha berkata, mayat anak saudaranya akan dibawa pulang ke kediaman mereka di Nibong Tebal selepas selesai bedah siasat sebelum disemadikan esok.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment