Senarai calon bocor: Cubaan pecah belah pemimpin

Thursday, February 1, 2018

Senarai calon bocor: Cubaan pecah belah pemimpin

Senarai calon bocor: Cubaan pecah belah pemimpin

ALOR SETAR - Senarai nama calon BN Kedah bagi PRU14 dalam empat muka surat didakwa untuk dihantar kepada Presiden BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang tersebar di laman sosial dan tular kelmarin, adalah cubaan pihak tertentu untuk memecah belahkan pemimpin parti itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, senarai nama calon PRU14 bagi kerusi Dun dan Parlimen yang tersebar itu adalah tidak betul.

"Kita percaya ada kemungkinan senarai calon BN Kedah untuk PRU14 yang tular di laman sosial sengaja diwujudkan mana-mana pihak tertentu yang memiliki niat tersendiri.

"Dalam dunia serba moden kini, ada pihak boleh mereka-reka sesuatu yang tidak tepat dengan membuat surat lengkap dengan kepala surat PM, BN sehinggalah pejabat MB," katanya.

Beliau berkata sedemikian selepas Majlis Pemberian Sumbangan Kotak Barakah Dun Bakar Bata di Dewan Persatuan Penduduk-Penduduk Cina Taman Wira Mergong, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Gerakan Kedah, Datuk Dr Cheah Soon Hai.

Ahmad Bashah berkata sedemikian, ketika diminta mengulas dakwaan kewujudan senarai calon BN Kedah bagi PRU14 yang sekali lagi tular di beberapa laman sosial sejak Rabu lalu.

Berdasarkan empat muka surat bertarikh 20 Januari 2018 yang tersebar di laman sosial itu, terpampang senarai nama 15 calon bagi kawasan Parlimen dan 36 calon Dun Kedah.

Beliau mendapati senarai calon PRU14 yang tersebar adalah usaha melaga-lagakan pemimpin dan wakil rakyat sedia ada apabila nama mereka tersenarai atau tidak.

"Apa yang pihak terbabit inginkan, ialah apabila pemimpin, seperti Adun dan Ahli Parlimen sedia ada ini melihat nama mereka tidak ada dalam senarai calon BN Kedah untuk PRU14 itu, mereka akan kecewa," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah menegaskan beliau belum memiliki senarai muktamad calon BN Kedah untuk PRU14 nanti.

 

 

 

"Saya belum membuat keputusan terakhir calon yang ingin dipertaruhkan, malah belum berjumpa dengan Perdana Menteri untuk memberi nama calon ingin diketengahkan. Masih belum ada," katanya.

 

 

 

Menurutnya, beliau sendiri akan membuat pengumuman nama calon yang akan bertanding yang dipilih dan menyerahkan surat perlantikan persetujuan dari Presiden BN nanti.

 

 

 

"Nanti, saya akan bawa dua, tiga senarai kepada Presiden. Selepas senarai calon dimuktamad, saya akan bawa balik satu senarai nama itu dan diumumkan kepada semua apabila dekat PRU14 nanti," katanya.

 

 

 

Buat masa kini, pihaknya sentiasa memastikan jentera parti membuat persediaan bagi menghadapi PRU14, sementara calon bertanding dan dikehendaki pengundi setiap kawasan masih dianalisa.

 

 

 

"Jikalau sampai tiga kali senarai calon PRU14 tersebar, itu hanyalah senarai yang ingin melaga-lagakan pemimpin kita antara satu sama lain. Jadi, saya harap janganlah percaya. Jika percaya, habislah, " katanya.

 

 

 

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan Kotak Barakah, kotak buah limau dan angpau kepada 850 keluarga melibatkan penduduk Taman Wira Mergong, Taman Habsah, Kampung Pisang dan Bakar Bata.

 

 

 

Beliau berkata, seramai 50,000 keluarga cina di seluruh Kedah akan menerima sumbangan terbabit bersempena Tahun Baru Cina demi memeriahkan sambutan dan meringankan bebanan.

 

 

 

Sebelum ini, tersebar meluas empat muka surat dokumen didakwa berkaitan senarai calon BN Kedah bagi PRU14 termasuklah surat kepada Pengerusi BN.

 

 

 

Pada surat itu dimaklumkan, Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Calon BN Kedah yang dipengerusikan Ahmad Bashah pada 13 Januari meminta senarai pendek calon berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon PRU14.

 

 

 

Dalam lampiran senarai calon diletakkan, timbul beberapa muka baharu yang bakal dipertaruhkan, namun ada muka lama dikekalkan dan ada juga calon sedia ada yang tidak disenaraikan.


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment