Seludup barang subsidi

SANDAKAN: Bukan saja cuba menyelinap keluar secara haram melalui perairan Sandakan ke Filipina, malah dua lelaki turut membawa bersama barang bersubsidi dan syabu.
Bagaimanapun, cubaan mereka digagalkan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan dalam operasi di sungai Batu 3, jam 5.30 pagi tadi.
Sebanyak enam bekas mengandungi minyak petrol dan 4.1 gram (gm) syabu ditemui bersama lelaki berusia 24 tahun dan 33 tahun itu.
Kedua-dua suspek menyembunyikan syabu dalam laci bot laju bagi mengelak ditemui pihak berkuasa dan ujian air kencing mendapati mereka positif syabu.
Komander PPM Wilayah Empat, Asisten Komisioner Mohd Yazib Abd Aziz, berkata sepasukan anggotanya yang menjalankan Operasi Pensura mengesan bot itu bergerak dalam keadaan mencurigakan sebelum dipintas.
"Mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan pemeriksaan lanjut ke atas bot laju dengan enjin 40 kuasa kuda berkenaan mendapati ia tidak berdaftar.
"Pemeriksaan dalam ruangan bot menemui enam bekas berisi 200 liter petrol bernilai RM462 yang disyaki cuba diseludup ke Filipina," katanya.
Mohd Yazib berkata, suspek bersama barangan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment