Sudah tiba masanya Kedah bina stadium baharu

Saturday, February 3, 2018

Sudah tiba masanya Kedah bina stadium baharu

Sudah tiba masanya Kedah bina stadium baharu

PENYOKONG Hijau Kuning dinasihatkan usah terlalu emosi apabila kerajaan negeri berhasrat membina sebuah stadium bola sepak baharu berkapasiti 60,000 penonton, demi untuk keselesaan semua pihak.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, cadangan itu bertepatan dengan masanya kerana keadaan Stadium Darul Aman sedia ada agak kurang selesa.

“Saya alu-alukan hasrat Kedah bina stadium baru, yang dicadang dibina di luar bandar raya ini bagi menampung jumlah kehadiran penonton yang makin meningkat di Stadium Darul Aman ketika ini. Ia suatu perancangan yang baik kerana pasukan Kedah saban tahun melakar kejayaan,” katanya, selepas majlis pecah tanah Pusat Latihan Skuasy, di Suka Menanti, disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Menurutnya, semua pihak diharap memberikan kerjasama sebaiknya bagi merealisasikan hasrat itu.

“Saya minta penyokong Kedah janganlah terlalu emosi, stadium baharu adalah untuk keselesaan mereka juga. Walaupun saya tahu ada nilai sentimental di tempat lama, saya percaya ia keperluan dan kemudahan yang perlu dinaik taraf,” katanya.

Khairy berkata, lokasi yang dicadangkan di Stargate juga strategik.

“Saya suka melihat industri bola sepak kita meningkat dengan naik taraf kemudahan seperti stadium baharu. Pasukan JDT pun bina stadium baru, Stadium Larkin akan digunakan pasukan kedua mereka, manakala pasukan utama gunakan stadium baru,” katanya.

Mengulas mengenai kos yang agak tinggi untuk kerajaan negeri membina dan menyenggara stadium baharu, katanya, perkara itu akan dibincangkan kemudian.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, beberapa kertas kerja telah diterima daripada pihak swasta termasuk reka bentuk kompleks mengikut kesesuaian dan kos sebelum dimuktamadkan.

Ia bakal dilengkapi kemudahan pusat perniagaan, gerai makanan dan jualan serta pusat sukan.

Cadangan itu dibuat susulan stadium sedia ada berkapasiti 30,000 penonton tidak lagi mampu menampung jumlah penyokong terutama pada perlawanan penting.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment