Ronasutra gagal rayu kes saman pelakon Vanidah

Monday, February 19, 2018

Ronasutra gagal rayu kes saman pelakon Vanidah

Ronasutra gagal rayu kes saman pelakon Vanidah

KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar kosmetik jenama Ronasutra gagal merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar baki bayaran kontrak sesi fotografi dan iklan komersial berjumlah RM265,000 kepada pelakon Vanidah Imran.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menolak rayuan syarikat terbabit, Miliyasutra Industries Sdn Bhd, selepas memutuskan ia (Mahkamah Tinggi) tidak mempunyai alasan untuk mengganggu keputusan dibuat Mahkamah Sesyen pada 23 Mei tahun lalu.

Pada prosiding hari ini, Miliyasutra diwakili peguam Phang Soon Mun, manakala peguam Dzulhelmi Zulkifli bertindak bagi pihak Vanidah atau lebih dikenali sebagai Vee.

Pada Mei tahun lalu, Mahkamah Sesyen membenarkan tuntutan Vanidah untuk mendapatkan bayaran tunggakan kontrak 'talent agreement' antara beliau dan Miliyasutra Industries bagi tempoh dua tahun bermula September 2012.

Hakim Roszianayati Ahmad dalam penghakimannya berkata, adalah tidak dipertikaikan bahawa Vanidah selaku plaintif tidak melakukan iklan komersial televisyen untuk tahun pertama dan kedua serta tidak melakukan sesi fotografi untuk tahun kedua.

Roszianayati berkata, selepas meneliti klausa 5 perjanjian itu, mahkamah mendapati obligasi defendan adalah membayar Vanidah bagi jumlah kontrak sebanyak RM490,000 untuk tempoh dua tahun.

Beliau berkata, keterangan di mahkamah menunjukkan defendan (Miliyasutra) sendiri gagal menyediakan sesi fotografi dan iklan komersial seperti diperuntukkan dalam perjanjian, sehubungan itu defendan tidak boleh menafikan bayaran yang sudah dipersetujui perlu dibayar kepada plaintif untuk tempoh dua tahun.

Vanidah memfailkan saman pelanggaran kontrak terhadap Miliyasutra pada 28 Oktober 2016, antara lainnya menuntut ganti rugi RM765,000 kerana mendakwa syarikat itu melanggar kontrak dan menggunakan imejnya secara salah.

Melalalui pernyataan tuntutan, Vanidah mendakwa beliau menandatangani kontrak bernilai RM490,000 dengan Miliyasutra sekitar September 2012 bagi tempoh dua tahun dan sepanjang tempoh itu, plaintif berkata beliau sudah menunaikan tanggungjawabnya tanpa sebarang aduan daripada plaintif.

Pelakon utama filem 'The Red Kebaya' itu bagaimanapun mendakwa, sehingga kontrak tamat pada September 2014, beliau masih belum menerima baki bayaran kontrak berjumlah RM265,000.

Dakwa plaintif lagi, pada 6 April 2015, defendan sebaliknya mencadangkan baki bayaran sebanyak RM60,500.

Plaintif sehubungan itu menuntut daripada defendan, baki kontrak sebanyak RM265,000, bayaran RM500,000 sebagai ganti rugi untuk penggunaan imejnya tanpa kebenaran, ganti rugi am, teladan dan teruk, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment