Maut langgar plaza tol selepas sambut hari lahir

Sunday, February 18, 2018

Maut langgar plaza tol selepas sambut hari lahir

Maut langgar plaza tol selepas sambut hari lahir

SHAH ALAM: Seorang wanita dan rakannya maut pada ulang tahun kelahiran ke-27, selepas kereta yang mereka naiki melanggar pembahagi lorong di Plaza Tol Batu Tiga di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata dalam kejadian jam 12.55 tengah malam itu, Noor Hidayah Mohamed Rezmi, 27, dan rakannya, Fathurezza Khoirul Huda Halimsuyto, 31, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Shah Alam.

"Siasatan awal mendapati, Fathurezza Khoirul Huda dipercayai memandu laju dan gagal mengawal kenderaannya, lalu merempuh pembahagi lorong tol itu.

"Kedua-dua mangsa, pemandu dan penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat jam 9.30 pagi ini," katanya ketika dihubungi.

Baharudin berkata, berdasarkan maklumat pengenalan diri, Fathurezza Khoirul Huda, seorang mekanik beralamat di Padang Jawa, Shah Alam, manakala Noor Hidayah pula beralamat di Seksyen 24, Shah Alam.

"Polis sudah menghubungi dan memaklumkan kepada waris kedua-dua mangsa," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman, berkata operasi mengeluarkan mayat mangsa diketuai beliau bersama 12 pegawai dan anggota.

Katanya, pasukannya mengambil masa kira-kira tujuh minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.

"Akibat rempuhan itu juga, bahagian enjin kenderaan terbabit remuk," katanya.

Syed Shahril Anuar berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah sebelum diserahkan kepada polis.

Kemalangan maut terbabit adalah kejadian kedua yang membabitkan kematian selepas Plaza Tol Batu Tiga ditutup secara rasmi pada 1 Januari lalu.

Pada 15 Januari lalu, dua maut dan seorang cedera dalam kemalangan juga pada awal pagi Isnin. Ketiga-tiga mangsa menaiki sebuah Perodua Kancil dari arah Kuala Lumpur menghala ke Klang.

Kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun itu dipercayai gagal dikawal lalu melanggar plaza tol berkenaan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment