Kemahiran trengkas, menaip pantas semakin terhakis

Sunday, February 18, 2018

Kemahiran trengkas, menaip pantas semakin terhakis

Kemahiran trengkas, menaip pantas semakin terhakis

PERKEMBANGAN bidang teknologi khususnya di zaman komputer dan telefon pintar kini, sekali gus semakin menghakis minat terhadap ilmu yang begitu popular suatu ketika dahulu, iaitu trengkas dan menaip pantas.

Sebelum tahun 1990-an, ilmu ini dianggap kemestian bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan tujuan agar mudah untuk memperolehi pekerjaan.

Malah, mereka yang mempunyai kelebihan ini, akan diberi keutamaan sekurang-kurang diambil bekerja di pejabat sebagai kerani atau setiausaha supaya senang mencatat minit mesyuarat, menaip surat atau kertas kerja.

Tulisan trengkas yang berupa cacing dikatakan berasal dari tamadun Greek dan sudah wujud sejak zaman sebelum masehi lagi.

Ia dipanggil trengkas, disebabkan hanya satu perkataan boleh ditulis dengan satu tulisan sahaja.

Bekas guru trengkas dan menaip pantas yang popular di Melaka suatu ketika dahulu adalah Lim Meow Soon atau lebih mesra dipanggil Nelson.

Berusia 72 tahun dan dilahirkan di Kampung Pantai, Melaka, beliau adalah pengasas Kelab Belia Intrem, Institus Trengkas Malaysia di negeri ini yang ditubuhkan pada 1980.

Menurut Nelson, beliau mempelajari kemahiran trengkas daripada seorang rakan yang turut sama membimbing pelajar di institut berkenaan.

“Sejak komputer dan kemunculan telefon pintar, ilmu menaip pantas kini sudah mula dilupai, amat sayang sekali sebab sepatutnya ilmu itu wajar disambung oleh generasi masa kini.

“Janganlah ilmu ini bagaikan ‘mati tidak bernisan’ bermakna lenyap begitu sahaja tanpa ada pewarisnya lagi,” katanya yang sudah mengajar ilmu berkenaan sejak 1960 lagi.

Katanya, di dalam kemahiran menaip pantas, meskipun zaman berlalu namun susunan huruf di papan kekunci komputer tetap tidak berubah.

“Orang dulu-dulu menaip tanpa melihat keyboard malah jari mereka sudah tahu mana hendak ditekan tetapi sekarang tidak ramai ada kemahiran itu. Kebanyakan main taip macam ‘patuk ayam’ sahaja.

“Begitu juga kemahiran trengkas, kalau dahulu mereka yang berkemahiran ilmu ini boleh menaip semula apa yang dicatatkan bulat-bulat,” katanya.  

Guru yang pernah memegang sijil di dalam bidang menaip pantas dari The London Chamber Of Commerce dan Pitmans Examinations Institut ini juga meluahkan rasa sedih kerana meskipun ilmu itu masih segar di dalam dirinya tetapi atas faktor usia, ia telah membataskan sesegalanya.

“Saya sudah uzur dan tidak mempunyai kemampuan lagi untuk mengajar malah kehidupan saya kini hanya ibarat siang menanti malam, malam menanti siang.

“Tak tahulah sekiranya ada anak murid saya yang hendak meneruskan untuk generasi akan datang, cuma muncullah kalau boleh tubuhkan kelas menaip pantas dan trengkas ini supaya ia dihidupkan balik,” katanya.

Beliau turut berharap dapat bertemu anak murid yang pernah dibimbingnya biarkan sudah lebih 40 tahun tidak bersua.  

“Kalau anak-anak murid yang saya masih ingat seperti Ramli Mohamad, Asfalela dan ramai lagi saya berharap semua penuntut lama yang masih kenal saya bolehlah berhubung dengan saya di talian 016-9043941, kalau hendak bertanya khabar.

“Saya juga tidak mempunyai halangan sekiranya ada pihak dari kalangan belia yang pernah saya pimpin dahulu untuk membuat reunion bagi mengeratkan kembali silaturahim,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment