Kes kereta mewah Aliff Syukri selesai

Monday, February 19, 2018

Kes kereta mewah Aliff Syukri selesai

Kes kereta mewah Aliff Syukri selesai

SEREMBAN: Kes kereta mewah jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) awal tahun ini selesai apabila beliau membuat bayaran penuh Lesen Kenderaan Motor (LKM), bulan lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, berkata Aliff Syukri mematuhi Notis 114 atau panggilan temu siasat dan menyelesaikan caj perbezaan LKM kenderaan berkenaan.

"Susulan kes itu, JPJ melancarkan Ops Tiris bermula 2 Januari hingga 31 Januari lalu di seluruh negara untuk mengesan kenderaan lain yang menggunakan LKM di luar kawasan pengisytiharan.

"Kita mengesan hampir 1,000 kenderaan melebihi 2400cc termasuk kereta mewah yang melakukan kesalahan berkenaan.

"Semua pemiliknya diberikan Notis 114 dan diarah menyelesaikan perbezaan bayaran LKM," katanya pada sidang media ketika operasi bersepadu Penguatkuasaan Khas Sempena Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2018 di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Azrin Borhan.

Awal tahun ini, BH melaporkan JPJ menyita kereta mewah jenis Rolls Royce Ghost milik jutawan itu yang didaftarkan atas nama syarikatnya dalam Op Patuh di Kuala Lumpur kerana memiliki LKM atau cukai jalan Sarawak, tetapi kenderaan itu digunakan di Semenanjung.

Dalam operasi berkenaan, dua warga Australia yang berada dalam kenderaan itu turut ditahan kerana tidak memiliki lesen memandu sah di negara ini selain tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Terdahulu, Wan Ahmad Uzir berkata, sebanyak 4,380 kenderaan diperiksa dalam operasi bersepadu di seluruh Negeri Sembilan sepanjang tiga hari sehingga semalam, dengan 2,455 kesalahan dikesan dan 1,420 pemilik dikenakan tindakan.

Beliau berkata, melalui strategi penyamaran sebagai penumpang bas, sebanyak 31 saman dikeluarkan membabitkan 33 bas kerana tidak menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer.

Katanya, bilangan kes memandu di lorong kecemasan bagaimanapun menurun dengan mendadak kepada lima kes dan faktor penyumbang dikenal pasti adalah kekerapan rondaan pasukan penguat kuasa di lebuh raya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment