Gagasan Sejahtera lancar manifesto PRU14

Monday, February 26, 2018

Gagasan Sejahtera lancar manifesto PRU14

Gagasan Sejahtera lancar manifesto PRU14

KOTA SETAR - Pas Kedah bersama rakan strategiknya, Gagasan Sejahtera melancarkan Manifesto PRU14 berteraskan 15 agenda teras mencakupi pelbagai aspek, antaranya membangunkan sebuah kerajaan telus dan bersih, melahirkan aset insan berkualiti, serta kehidupan harmoni dan kesejahteraan ummah.

Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, tawaran manifesto dilakukan sebaik mungkin dengan mengambil kira pengalaman Pas mentadbir kerajaan negeri (2008-2013), kedudukan ekonomi, sosio budaya rakyat Kedah serta cabaran semasa.

“Kami mengambil inisiatif lebih awal tampilkan tawaran ini memandangkan masa yang ada terhad. Ini bagi membolehkan jentera penerangan parti bekerja secara tersusun memperjelas tawaran mengikut masa berbaki menjelang PRU14,” katanya.

Menurutnya, walaupun muncul sebagai parti pertama melancarkan manifesto, namun pihaknya tidak bimbang intipati manifesto itu diceduk parti lain, sebaliknya tekad menanti cabaran memenangi PRU14.

“Rakyat Kedah tidak hanya melihat kandungan manifesto, mereka juga menilai keupayaan Pas melaksanakan tanggung jawab sebagai kerajaan sebelum ini.

"Jadi, gabungan antara praktikal dan tawaran pilihan raya menjadi satu kelebihan kepada Gagasan Sejahtera mendapat kepercayaan rakyat Kedah,” katanya.

Ahmad Fakhruddin berkata, walaupun tidak menawarkan ‘bulan dan bintang’ namun Pas siap siaga untuk berkhidmat.

“Kami sedar kedudukan dan sumber negeri, kita telah buktikan banyak yang boleh dibuat walaupun dengan sumber terhad.

"Manisfesto 2008, kita capai 95 peratus dan laksana enam program ikonik yang tidak dijanjikan dalam manifesto,” katanya.

Antara kejayaan Pas yang kini menjadi mercu tanda Kedah adalah, Kampus Kolej Universiti Insaniah Kuala Ketil, Aman Central, Hotel Adya Langkawi, Menara Sada, Skim Kafalah, peningkatan hasil balak, penubuhan Maahad Tahfiz Sains Kulim, serta program pembangunan insan Kem Anak Soleh/ Kem Bina Insan dan Kem Bina Sahsiah.

Pelancaran manifesto itu disempurnakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut, malam kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Datuk Hashim Abd Karim; Timbalan Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan,) Dr Samarudin Md Rejab serta Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin.

Manifesto bertemakan ‘Kesejahteraan, Dinamik dan Harmoni’ itu merangkumi pentadbiran, hal ehwal agama, pendidikan, kebajikan, ekonomi, air dan tanah, perumahan, pembangunan wanita dan keluarga, belia dan pembangunan insan, integrasi kaum, keselamatan dan alam sekitar serta infrastruktur.

“Pas Kedah miliki pengalaman selain matang dan bersedia pikul tanggung jawab mentadbir sebagai kerajaan.

"Walaupun berdepan sosio-ekonomi dan geo-politik mencabar, namun dengan adanya kualiti tekno-profesional dan takwa pimpinan Pas, kami yakin mampu penuhi hasrat rakyat Kedah,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment