Dua beradik temui ajal bersama

Monday, February 19, 2018

Dua beradik temui ajal bersama

Dua beradik temui ajal bersama

KULAI: Dua beradik terbunuh, apabila motosikal dinaiki mereka hilang kawalan dan melanggar besi pembahagi jalan sebelum dirempuh kereta dalam nahas di Kilometer 27.4 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) di sini, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar, berkata dalam kejadian jam 6.10 pagi itu, penunggang Honda Wave, Muhammad Zulfakar Zainal Abidin, 22, mati ketika dalam rawatan kecemasan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI).

Beliau berkata, adik perempuannya, Nurfatin Atikah Zainal Abidin, 19, yang membonceng, mati di tempat kejadian akibat pelbagai kecederaan susulan rempuhan yang dialami mereka. Katanya, dua beradik itu berasal dari Parit Bachok, Benut.

"Siasatan awal mendapati, dua beradik itu dalam perjalanan dari arah utara ke selatan sebelum motosikal dinaiki mereka hilang kawalan di tempat kejadian.

"Honda Wave berkenaan terbabas melanggar besi pembahagi laluan, menyebabkan penunggang terpelanting ke dalam longkang di sebalik pembahagi jalan manakala adik perempuannya terjatuh di atas lebuh raya.

"Ketika itu, sebuah Honda Civic yang melalui laluan sama gagal mengelak, menyebabkan ia terlanggar mangsa perempuan sebelum terbabas dan merempuh besi pembahagi jalan. Pembonceng motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Dzulkhairi berkata, kemalangan maut itu sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment