Penantian 11 tahun bina sekolah menengah baharu berakhir

Monday, January 1, 2018

Penantian 11 tahun bina sekolah menengah baharu berakhir

Penantian 11 tahun bina sekolah menengah baharu berakhir

SELINSING - Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelangi Perdana, Batu 6, Parit Buntar yang dijadualkan bermula awal tahun 2018 mampu menyelesaikan masalah pelajar yang terpaksa berulang alik ke sekolah menengah lebih jauh sebelum ini.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, isu pembinaan sekolah menengah tersebut yang tertangguh sejak tahun 2007, akhirnya berjaya diselesaikan setelah lebih tujuh tahun diperjuangkan pihaknya melalui persidangan Parlimen.

Menurutnya, keperluan pembinaan sekolah menengah itu amat mendesak memandangkan kebanyakan pelajar, bermula dari kawasan Simpang Lima, Parit Buntar sehingga Kampung Seri Makmur, Kuala Kurau, kini terpaksa berulang-alik ke sekolah berhampiran yang berjarak jauh setiap hari.

"Berdasarkan maklumat terkini, pembinaan SMK Pelangi Perdana yang bernilai lebih RM50 juta itu akhirnya dijadualkan akan dibina bermula awal tahun ini, setelah proses lawatan tapak dan tawaran tender pembinaan projek itu diselesaikan akhir tahun lalu.

"Sebelum itu, proses pengambilan tanah untuk pembinaan sekolah seluas 9 hektar itu telah dibuat pada tahun 2007 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM).

"Bayaran pampasan(pengambilan tanah) sudah diselesaikan pada Oktober 2007 dan kawasan cadangan pembinaan sekolah itu di hadapan Sekolah Kebangsaan Jalan Baharu, Parit Buntar sebenarnya merupakan kawasan Parlimen Bagan Serai dan Dun Alor Pongsu,"katanya kepada media sewaktu mengadakan lawatan pemantauan hari pertama persekolahan tahun 2018 di Sekolah Kebangsaan(SK) Kampung Dew, di sini hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, pembinaan sekolah menengah di sekitar Batu 6, Kuala Kurau itu dijangka akan mengurangkan stres ibu bapa, pelajar dan guru-guru yang kini terpaksa berjalan jauh berulang alik ke sekolah menengah berhampiran yang jaraknya antara 15 hingga 25 km.

Menurutnya, pada ketika ini, lebih 500 pelajar sekolah menengah dari kawasan Simpang Lima, Kampung Tanah Kebun, Batu Lima, Batu Enam hingga ke Kampung Seri Makmur, Kuala Kurau terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk ke SMK Sri Kurau, SMK Panglima Bkt Gantang, SMK Seri Perak, SMK Methodist dan SMK Kerian.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment