Hilang kaki tidak halang ke sekolah

Monday, January 1, 2018

Hilang kaki tidak halang ke sekolah

Hilang kaki tidak halang ke sekolah

RANTAU PANJANG: Kehilangan sebelah kaki kiri sejak September lalu akibat barah tulang, tidak mematahkan semangat untuk seorang remaja kembali ke sekolah.

Abdul Afza Aziz Abdul Wahab, 17, yang terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan, teruja kembali ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, di sini selepas setahun dia terpaksa menangguhkan persekolahan akibat barah.

Katanya, walaupun kesihatannya tidak baik, namun dia cuba bangkit meneruskan persekolahan bagi mendapatkan keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

"Pada mulanya rasa gugup dan kurang keyakinan diri untuk memulakan persekolahan, namun selepas mendapat nasihat daripada keluarga dan sahabat, saya kembali bersemangat.

"Ramai yang membantu saya ketika hari pertama persekolahan, termasuk rakan dan guru. Saya akan cuba menjadi lebih baik, selain terus berusaha untuk mendapat keputusan cemerlang nanti," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Pada 22 September lalu, BH melaporkan seorang remaja terpaksa menjalani pembedahan kali kedua memotong kakinya hingga paras paha, akibat terlalu sakit serta komplikasi barah tulang.

Abdul Afza sebelum ini sudah menjalani pembedahan pada kaki kirinya untuk membuang sel barah daripada merebak di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, pada Jun tahun lalu.

Sementara itu, ibunya, Siti Halimah Mohammad, 37, meluahkan rasa gembira dan bangga dengan kecekalan anak sulungnya yang tabah melawan penyakitnya, sehingga mampu kembali semula ke sekolah.

"Pada hari pertama persekolahan semalam, saya menemaninya daripada proses mendaftar sehinggalah dia ke kelas. Saya dapat lihat daripada raut wajahnya, dia gembira untuk kembali belajar bersama sahabatnya.

"Pada awalnya, dia ada meluahkan rasa malu untuk berhadapan dengan sahabatnya, namun saya memberi kata semangat dan sokongan agar dia tidak mudah merendah diri," katanya yang turut berterima kasih kepada pihak Third Force Rantau Panjang kerana membantu memberi sokongan moral dan kewangan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment